Calon kerusi DUN Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz bergambar bersama penduduk ketika kempen pilihan raya negeri pada 6 Ogos 2023. Foto Team calom Dusun Tua
ADNSELANGOR

Calon Dusun Tua azam tambah baik kemudahan lokasi tumpuan pelancong

SHAH ALAM, 6 OGOS: Calon kerusi Dusun Tua akan menjadikan Dewan Undangan Negeri itu sebagai lokasi pelancongan terkenal sekiranya mendapat mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

Datuk Johan Abdul Aziz berkata pihaknya sedia menambah baik kemudahan sedia ada di beberapa air terjun yang sering mendapat perhatian dan dikunjungi ratusan pengunjung terutama ketika hari minggu.

“Bukan sungai sahaja tetapi geografi kawasan ini ada dua kolam air panas selain Gunung Nuang yang menjadi pilihan golongan pencinta alam sekitar dan penggemar aktiviti lasak.

“Jika menang, isu ini jadi tumpuan utama. Kita tambah baik kemudahan sedia ada. Pastikan lokasi memberi keselesaan. Bila ramai ke sini, secara tak lansung dapat tambah pendapatan penduduk sekitar,” katanya kepada SelangorKini.

Johan berkata seiring usaha berkenaan, beliau turut bercadang menambah baik infrastruktur jalan raya termasuk laluan alternatif demi keselesaan pengunjung dan penduduk setempat.

“Sekarang laluan sesak jika hari cuti. Jadi kita akan bawa perkara ini kepada agensi berkaitan supaya dapat mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Timbalan pengerusi UMNO negeri itu berdepan dua pesaing iaitu calon MUDA, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad dan Azhar Hambali (Perikatan Nasional) bagi merebut kerusi berkenaan.


Pengarang :