Orang ramai membeli barang keperluan asas dengan harga murah pada program Jelajah Ehsan Rahmah sempena Hari Veterinar dan Hari Kebajikan Haiwan 2023 di Laman Ternakan MAEPS, Serdang pada 26 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cuaca hujan tidak halang orang ramai kunjungi jualan murah anjuran PKPS

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

SERDANG, 26 OGOS: Cuaca hujan tidak menghalang orang ramai membeli barangan dapur murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang berlangsung di Laman Ternakan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohamad Nazif Zulkifli berkata lebih 500 pengunjung hadir ke program tersebut meskipun cuaca hujan pada sebelah pagi tadi.

Wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohamad Nazif Zulkifli, 21. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Walaupun hujan, pengunjung masih menunggu giliran di khemah jualan, malah ada antara mereka di beberapa gerai lain berdekatan sebelum beratur mendapatkan barangan asas.

“PKPS menawarkan barangan dapur murah antaranya 500 ekor ayam segar, 300 papan telur, selain produk Ehsan berasaskan barangan kering seperti tepung gandum, gula dan kicap,” katanya.

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, JER sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengangkat ayam pada program Jelajah Ehsan Rahmah sempena Hari Veterinar dan Hari Kebajikan Haiwan 2023 di Laman Ternakan MAEPS, Serdang pada 26 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :