Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Mega Ehsan Rahmah di Taman Keramat pada 31 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ringan beban rakyat, hampir RM23 juta dibelanja untuk subsidi jualan murah

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kerajaan Selangor membelanjakan hampir RM23 juta setakat ini bagi meringankan beban rakyat membeli barangan keperluan asas menerusi program jualan murah.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan berbentuk subsidi itu disalurkan untuk Program Intervensi Ehsan yang kemudiannya dijenamakan Jelajah Ehsan Rakyat (JER), demi membantu rakyat membeli ayam, ikan, sayur serta barangan dapur lain pada harga lebih rendah.

“Lokasi dan kekerapan jualan juga ditambah seluruh Selangor dan digandakan melalui program jelajah mega menjelang perayaan.

“Tahun ini, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Jelajah Ehsan Rahmah digerakkan bersama-sama agar dapat meliputi lebih banyak lokasi seluruh Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelas beliau, usaha membantu rakyat sewaktu berbelanja diwujudkan sejak 2018 menerusi penganjuran Selangor Agro Market (SAM) yang menjual lambakan hasil pertanian.

“Dengan ini, rakyat boleh membeli barang basah pada harga lebih murah. Inilah bukti kerajaan yang bertanggungjawab dan mempunyai visi untuk membantu rakyat.

“Terbukti pentadbiran ini sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Awal 2018, SAM yang dianjur dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dibuka di 87 lokasi melibatkan sembilan daerah.

Sehingga Oktober tahun sama, program berkenaan mampu mencatat nilai jualan sehingga RM3.5 juta.


Pengarang :