Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Ramah Mesra Perpaduan Semenyih #KitaSelangor di Dewan Semarak Kasih Dataran Dato’ Mohd Said Semenyih, Kajang pada 9 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

HARAPAN-BN patahkan serangan lawan dengan fakta, prestasi majukan negeri

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

HULU LANGAT, 10 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) berupaya mematahkan serangan lawan dengan fakta, pengalaman dan rekod prestasi memajukan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata data turut membuktikan Selangor kekal penggerak utama ekonomi negara menerusi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Daripada segi prestasi, Selangor menyumbang 25.5 peratus KDNK, maknanya kalau RM10 dalam poket (Datuk Seri Muhammad) Sanusi (menteri besar Kedah) sekarang, ada RM2.55 datang dari Selangor.

“Lawan mulakan serangan seolah-olah kita tidak berjaya (urus) ekonomi negeri. Kalau pandai sangat, puluh tahun jaga Kelantan, satu penggal jaga Terengganu, apa lonjakan diberikan?” soalnya.

Berucap dalam ceramah di Beranang malam tadi, beliau berkata kerja keras pentadbiran negeri sejak 2018 berhasil apabila Selangor menyumbang satu perempat kepada ekonomi negara.

Pengerusi HARAPAN Selangor menjelaskan jumlah pelaburan juga meningkat saban tahun meskipun negeri itu berdepan pelbagai cabaran terutama selepas pandemik Covid-19 dan banjir besar.

“Saya ambil alih (Selangor) dengan KDNK 23.7 peratus, jumlah tertinggi ditinggalkan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali. Naik perlahan pada 2018 hingga jelas Selangor negeri paling maju,” katanya.

Beliau juga tidak melupakan sumbangan Umno-BN yang membina asas kemajuan dengan membuka perkampungan baharu menggantikan ladang Sungai Renggam sehingga menjadi bandar raya Shah Alam.

“(Kemajuan) disambung pada 2008, kita tambah program Negeri Pintar dan bangunkan kemudahan, bina jambatan ketiga (Klang) serta buka peluang ekonomi baharu. Inilah gabungan (HARAPAN-BN) yang akan membawa Selangor jauh lebih mantap pada masa depan,” katanya.

Hari pengundian bagi pilihan raya negeri Selangor dan lima negeri lain berlangsung Sabtu ini.

 


Pengarang :