Orang ramai yang hadir pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang pada 27 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI.
ADNSELANGOR

Jualan murah di Bukit Antarabangsa, lebih 500 ekor ayam habis dalam dua jam

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 27 OGOS: Lebih 500 ekor ayam habis dijual dalam masa dua jam pada program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, di sini, hari ini.

Pengerusi Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Melayu Ampang berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan JER seblan sekali susulan sambutan yang menggalakkan.

“Alhamdulillah, sasaran kita 300 ke 400 pengunjung dan pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga turut menjual pelbagai barangan kering seperti Sardin, Tomato dan Tepung, jadi, penduduk dapat berjimat lebih banyak.

“Kita harap dapat anjur lebih kerap, mungkin sebulan sekali dan dapat buat pada hujung minggu cuma kita akan melihat kepada tempahan slot daripada PKPS,” kata Daing Muhammad Najib Bachok.

Pengerusi Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Melayu Ampang Daing Muhammad Najib Bachok pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang pada 27 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 

Pada program di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung itu, lebih 250 nombor giliran habis diagih seawal jam 9 pagi dan tamat lebih awal pada jam 12 tengah hari selepas hampir kesemua barang habis dijual.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, JER sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

Orang ramai yang hadir pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang pada 27 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI.

 


Pengarang :