Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad semasa sidang media selepas mesyuarat bulanan di Menara MPAJ pada 29 Ogos 2023. Foto AZIAN AZIZ/ SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kebenaran merancang tamat, tiada pembangunan di Taman Kelab Ukay

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjelaskan tiada projek pembangunaan di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa buat masa ini memandangkan kebenaran merancang (KM) yang diberi kepada pemaju telah tamat tempoh.

Yang dipertuanya berkata sebelum ini pihaknya telah memberi kelulusan KM kepada Lembah Langat Development Sdn Bhd yang juga pemilik tanah untuk menjalankan pembangunan di kawasan tersebut.

Menurut Dr Ani Ahmad, kebenaran diberikan pada 14 Oktober 2020 setelah mendapat kelulusan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) pada 24 September 2019.

“MPAJ dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerjaraya Malaysia (Ikram) juga telah membuat pemeriksaan di kawasan projek dan memberi syarat kepada pemaju untuk membuat rawatan cerun sebelum melaksanakan pembangunan.

“Bagaimanapun tempoh KM yang diberikan selama setahun bermula 14 Oktober 2020 hingga 13 Oktober 2021 dan dilanjutkan pada 14 Oktober 2021 hingga 13 Oktober 2022 telah luput disebabkan tiada kerja-kerja pembangunan dijalankan,” katanya pada mesyuarat penuh MPAJ semalam.

Ani mengulas laporan sebuah akhbar mengenai isu bantahan penduduk berhubung projek pembinaan di kawasan tersebut melibatkan 274 unit kondominium 37 tingkat dan 54 unit townhouse tiga tingkat.

Beliau menjelaskan sebelum projek dijalankan, pihak pemaju diarah memasang notis pemakluman cadangan pembangunan di tapak pembinaan selama 14 hari bermula 9 Disember 2019.

“Tiada sebarang bantahan penduduk diterima dan tiada sesi dialog dibuat, bagaimana pun pemaju telah berjumpa respondan di kawasan sekitar untuk melakukan soal selidik,” tambahnya.

Tegas Ani sebarang pembangunan khasnya di kawasan bercerun tinggi yang berisiko perlu mematuhi peraturan dan garis panduan pembangunan yang dikeluarkan PlanMalaysia 2010 sebelum mendapat kelulusan MPAJ.

Tambah beliau pemaju juga perlu mendapat kelulusan JTPKSAS, Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempatc(OCS) di peringkat MPAJ sebelum memulakan pembangunan.


Pengarang :