Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menampal notis penutupan premis sebuah kilang memproses ayam dalam satu operasi bersepadu di Jalan Sungai Bakau, Rawang pada 29 Ogos 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang
PBTSELANGOR

Persekitaran kotor, kilang proses ayam tanpa lesen ditutup

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebuah kilang memproses ayam di Jalan Sungai Bakau, Rawang ditutup serta-merta berikutan beroperasi tanpa lesen selain gagal menyediakan persekitaran bersih.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan penutupan selama 14 hari berkuat kuasa 29 Ogos dibuat tanpa halangan atau provokasi daripada pemilik premis dan orang awam.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, kilang tersebut pernah diserbu sebanyak dua kali atas kesalahan sama dalam operasi sebelum ini, namun pemilik masih berdegil.

Anggota penguat kuasa MPS meninjau keadaan kilang memproses ayam yang kotor di Jalan Sungai Bakau, Rawang dalam satu operasi pada 29 Ogos 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang

“Pemilik premis kilang pernah diberikan lesen sementara, namun dibatalkan kerana tidak mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar melalui notis yang dikeluarkan pada 8 Februari 2023.

“Surat makluman pembatalan diserahkan kepada pemilik pada 3 Ogos dan diarah untuk menghentikan operasi dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan surat,” maklum MPS di Facebook.

Jelas PBT itu, sebanyak empat kompaun, satu notis penutupan dan sita dikeluarkan selain pemotongan bekalan elektrik bagi melumpuhkan operasi kilang berkenaan.

Notis dikeluarkan bawah Undang-Undang Kecil 3, Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007; UUK 27 (2), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007; UUK 19 (1) d, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007 dengan kompaun RM1,000 maksimum setiap satu.

MPS juga mengeluarkan notis bawah Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) kerana kesalahan penambahan dan perubahan dalaman premis dengan kompaun berjumlah RM12,500.


Pengarang :