Calon Harapan DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli menziarahi penduduk sekitar kawasan Enggang Selatan sewaktu program Ziarah Kasih di Taman Keramat pada 2 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Khidmat guaman, kelas mengaji percuma di Hulu Kelang

SHAH ALAM, 7 OGOS: Khidmat guaman untuk wanita dan kelas mengaji percuma, itu antara ditawarkan Juwairiya Zulkifli buat penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Calon nombor dua pada kertas undi itu mengumumkan perkara berkenaan ketika melancarkan manifestonya, ‘6 Agenda Hulu Kelang’.

“Masih ramai wanita tak mampu dapat khidmat guaman kerana itu antara aduan yang kerap kali disuarakan mereka walaupun realitinya pahit.

“Sementara untuk anak keluarga berpendapatan rendah (B40), selari dengan manifesto ‘Islam Teras Kehidupan’, saya mahu penganjuran kelas pengajian iqra dan al-Quran secara percuma untuk mereka,” katanya dalam sidang media semalam.

Antara tawaran lain diumum penyandang kerusi Bukit Melawati itu ialah Keselamatan dan Kesejahteraan Komuniti, Memartabatkan dan Mendayaupaya Wanita, Memangkin Potensi Anak Muda, Merancakkan Ekonomi dan Peluang Kerja serta Membela Nasib Orang Asli.

“Agenda Hulu Kelang ini merupakan satu gerak kerja lima tekad untuk lima tahun selari seperti yang telah diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar sebelum ini.

“Jika kita teliti Agenda Hulu Kelang ini adalah untuk memenuhi keperluan jengka pendek komuniti juga menawarkan solusi mampan untuk mencapai aspirasi jangka panjang penduduk,” katanya.

Juwairiya berdepan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) pada pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.


Pengarang :