Usahawan yang menyertai Program Bizmatch 3.0 bergambar kenangan di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS pada 5 Ogos lalu. Foto Facebook PKNS
AGENSISELANGOR

Lima peserta Bizmatch 3.0 jalin kolaborasi dengan pasar raya terkemuka

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 18 OGOS: Seramai lima usahawan berjaya menjalinkan berkolaborasi dengan pasar raya terkemuka tempatan hasil penyertaan program Bizmatch 3.0 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.

Menurut PKNS, seramai 55 usahawan lain turut dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam memasarkan produk mereka ke pasaran yang sama.

“Program yang berjalan pada 5 Ogos lalu itu adalah di bawah inisiatif Unit Pembangunan Usahawan (BPU) yang melibatkan 80 penyertaan usahawan secara keseluruhan.

“Program ini bertujuan membantu usahawan-usahawan untuk menembusi sektor peruncitan khususnya pasar raya tempatan,” maklum PKNS di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, PKNS berkata program taklimat dan penilaian yang diadakan turut menampilkan wakil daripada beberapa pasar raya tempatan seperti Giant, Lulu, Lotus’s, Segi Fresh, Aeon Big, Aeon Co dan ST Rosyam Mart.

“Para usahawan diberi garis panduan serta pengetahuan kepada teknik-teknik memasuki atau tersenarai di dalam pasar raya tempatan.

“Selain itu usahawan terlibat juga dapat mengetahui potensi sebenar produk-produk usahawan di bawah seliaan BPU,” katanya.


Pengarang :