Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: HARAPAN-BN gabungan kukuh pulih, majukan negara

AMPANG, 4 OGOS: Gabungan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kini dianggap kukuh dan mampu memulihkan ekonomi serta memajukan negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga tidak menafikan kenyataan bahawa BN banyak membantu memajukan Selangor sehingga menjadi negeri termaju di Malaysia.

“Satu gabungan paling kuat dalam kerajaan (ketika ini). Saya tidak pernah nafikan memang Umno dan BN yang majukan Selangor sehingga menjadi negeri paling maju di Malaysia.

“Pada 2008, kita sambung legasi itu. Ada beza tak? Ada. Ada berbalah tak? Ada. Walaupun berbeza, Selangor kekal penyumbang terbesar ekonomi negara seperti pencapaian BN dahulu,” katanya.

Orang ramai bersorak ketika mendengar ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI

Berucap dalam ceramah Jelajah Madani di sini malam tadi, pengerusi HARAPAN Selangor itu juga yakin polisi kerajaan perpaduan mampu menjadikan masa depan negara lebih cerah, maju dan aman.

“Polisi yang ada sekarang ini kalau kita bertapak lebih jauh, inilah masa depan yang sebenar. Gabungan perpaduan meliputi semua kaum, bermuafakat untuk selamatkan negara,” katanya.

Dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos, Amirudin berdepan saingan tiga penjuru melawan calon Perikatan Nasional Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal (Bebas) di DUN Sungai Tua.

Calon nombor tiga dalam kertas undi itu memenangi kerusi berkenaan sejak 2008.


Pengarang :