Masjid Taman Alam Jaya dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 8 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Negeri belanja RM583 juta majukan Islam, jaga guru agama

SHAH ALAM, 3 OGOS: Selangor sentiasa mengambil berat perkembangan agama. Masjid dan surau sentiasa bertambah, sesuai dengan peningkatan jumlah penduduk Islam di sesuatu tempat.

Untuk tujuan itu, perbelanjaan bagi pembangunan agama sentiasa meningkat, termasuk membina masjid baharu. Jadi semua peruntukan pembangunan disesuaikan dengan keperluan semasa dari tahun ke tahun.

Tidak pernah pembangunan Islam terabai ketika Pakatan Harapan mentadbir sejak 2008. Malah, ketika Barisan Nasional diamanah mentadbir negeri sebelumnya, perkembangan Islam terus dijaga bagi memenuhi keperluan umat.

Jumlah masjid bertambah

Masjid di Selangor meningkat daripada 384 buah pada 2010 kepada 395 (2013) dan terus bertambah kepada 436 buah pada 2022 (setakat Oktober).

Begitu juga jumlah surau yang diizin untuk mengadakan solat Jumaat: bertambah daripada 132 buah pada 2010 kepada 346 buah pada 2022 (setakat Oktober).

Angka-angka rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ini dengan sendiri menjawab fitnah yang disebarkan ketika pilihan raya.

Tuduhan liar itu boleh menjejaskan wibawa jabatan berkenaan yang selalu mengambil berat kemajuan Islam.

Masjid Diraja Sultan Ala’eddin, Kampung Bandar, Kuala Langat. Foto Facebook Masjid Diraja Sultan Ala’eddin

Dana tertinggi RM583 juta

Begitu juga dana untuk Jais yang meningkat apabila ada keperluan membangunkan masjid, sekolah agama dan program Islam. Dalam Belanjawan 2023, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM583 juta, paling besar sejak 2008.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memperkukuh dan memperluas nilai kesejagatan agama Islam,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan pada 25 November 2022.

“Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM583,252,170 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri yang diluluskan bagi RMK-12 kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk aktiviti memperkukuh pentadbiran dan memperluas nilai kesejagatan agama Islam di negeri ini.”

Jumlah besar ini disediakan, antaranya, untuk projek pembangunan Islam (lihat jadual).

Angkara Covid-19

Sebahagian peruntukan pembangunan Jais bagaimanapun tidak dapat dijayakan ketika negara dilanda wabak Covid-19 antara awal 2020 hingga awal 2022. Kerja pembinaan terpaksa dihentikan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Maka, tidaklah benar perkembangan Islam terjejas. Tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat ketika PKP menyebabkan masjid dan surau tidak dapat diimarahkan seperti biasa. Hanya pentadbir masjid dibenarkan bersolat waktu itu.

Umumnya, Jais menerima dana besar, lebih kurang RM300 juta setiap tahun bagi peruntukan mengurus dan juga peruntukan pembangunan. Dana mengurus melibatkan gaji dan elaun selalunya tidak berkurangan, malah bertambah.

Berubah ikut keperluan

Tetapi dana pembangunan inilah yang berubah-ubah mengikut keperluan. Pada 2023, dana itu cukup besar sehingga RM583 juta. Pada 2017, dana lebih RM400 juta untuk keperluan waktu itu.

Peruntukan tahun tersebut disediakan bagi membina 14 projek dengan nilai siling RM200 juta, melibatkan pembangunan masjid, maahad integrasi dan sekolah rendah agama.

Dana pada tahun 2015 dan 2016, dana Jais kekal seperti sekarang, sekitar RM300 juta sahaja. Pendek kata Islam di Selangor sentiasa dimajukan. Peruntukan akan bertambah setiap kali ada keperluan.

Fitnah pilihan raya

Jadi fitnah dan tohmahan jahat terhadap pentadbiran Islam di negeri ini hanya muncul akibat perebutan kuasa. Ada pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan imej Jais semata-mata pilihan raya.

Selangor memberi perhatian lebih untuk pendidikan agama, membelanjakan lebih RM180 juta setahun untuk kemajuan sekolah dan kebajikan guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Gaji guru agama

Jumlah gaji, elaun dan imbuhan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jais sebanyak RM72.3 juta, tidak termasuk gaji guru kontrak RM11.6 juta dan emolumen guru Kafa RM2 juta.

“Peruntukan mengurus Jais (sebanyak RM280.7 juta),” kata Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad kepada Selangorkini pada 23 Jun sebagai perbandingan.

Mohd Shahzihan memberi contoh kejayaan Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBest) Subang Jaya yang mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.22 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022. Ia lebih baik berbanding Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas).


Pengarang :