PBTSELANGOR

MPK: 46,994 akaun gagal bayar cukai taksiran, saran lunas segera elak harta disita

KLANG, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenal pasti 46,994 akaun komersial dan kediaman gagal membayar cukai taksiran setakat Jun lalu.

Susulan itu, Timbalan Pengarah Undang-Undangnya menasihatkan pemilik premis supaya segera melakukan pembayaran bagi mengelakkan harta disita.

Menurut Muhammad Azlan Ab Malek, MPK mempergiat kutipan cukai taksiran secara agresif dengan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan penduduk cakna untuk membuat bayaran.

“Kita faham keperluan semasa orang awam dalam berurusan di kaunter dan sebab itu menawarkan perkhidmatan secara dalam talian bagi memudahkan pembayaran cukai taksiran.

“MPK turut menyediakan platform JomPay dan iPay bagi memudahkan orang awam membuat bayaran berbanding perlu pergi ke kaunter,” katanya ditemui selepas operasi sitaan hari ini.

Terdahulu, MPK menyita sebuah restoran 24 jam berikutan gagal membayar cukai taksiran berjumlah RM21,000 sejak lapan tahun lalu.


Pengarang :