Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir (tengah) bergambar dengan rakan kolaborasi sambil memegang poster Ekspo Buku Petaling Jaya pada 29 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ anjur ekspo buku pada 9 – 17 September, lebih 30 penerbit sertai

PETALING JAYA, 29 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kembali menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) edisi ketiga pada 9 hingga 17 September ini.

Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) itu bakal diadakan di Dewan Sivik MBPJ di sini bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

“Lebih 30 penerbit buku popular akan menyertai ekspo ini antaranya adalah Karangkraf, Institut Buku Darul Ehsan (IBDE), PTS, Pelangi dan Iman Publications.

“Baucar pembelian buku turut diberi kepada pengunjung terawal supaya mereka boleh membeli bahan bacaan yang diminati pada harga lebih rendah,” katanya ketika ditemui pada sidang media PJBX di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Mohamad Azhan berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang sembilan hari ekspo berlangsung antaranya adalah sembang buku, pertandingan bercerita dan pertandingan menyanyi.

Selain itu, katanya turut disediakan aktiviti khas buat golongan orang kurang upaya (OKU) dan seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma kepada calon peperiksaan itu.

“Menariknya, kali ini kita turut membawa penampilan khas maskot Didi & Friends kepada pengunjung yang hadir ke PJBX pada 9 dan 10 September,” katanya.

Rakan strategik MBPJ seperti institusi pengajian awam dan swasta juga turut menjayakan beberapa slot aktiviti kepada pengunjung antaranya pemeriksaan gigi oleh Lincoln University, kepentingan pendidikan awal kanak-kanak oleh Saito University College dan kesedaran keselamatan jalan raya oleh UiTM.

Pada 31 Januari 2019, Petaling Jaya dinobatkan antara 10 bandar di dunia yang menerima pengiktirafan sebagai Bandar Pembelajaran 2019.

Anugerah ini diberikan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di atas pelbagai pencapaian cemerlang dan inisiatif diusahakan MBPJ khususnya di dalam bidang pendidikan.


Pengarang :