Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tindakan undang-undang, sebar fitnah pada LLSB dan Gerbang Maritim Selangor

SHAH ALAM, 3 OGOS: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu yang membuat kenyataan fitnah terhadap syarikat itu termasuk projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG).

LLSB menerusi kenyataan berkata tindakan tersebut demi menjaga nama baik dan reputasinya selepas individu terbabit dengan sengaja menyebar maklumat tidak benar berulang kali walaupun selepas diberi penjelasan berterusan.

“Kami dengan tegas memberi amaran terhadap individu-individu yang menyiarkan komen berniat jahat dan menyebarkan maklumat yang salah tentang syarikat kami.

“Kami juga telah mengenal pasti dan sedang mengambil tindakan undang-undang menerusi peguam kami terhadap beberapa individu lain di portal dalam talian dan media sosial kerana tulisan fitnah, penyiaran data palsu dan maklumat salah di rangkaian sosial, komen-komen memudaratkan reputasi syarikat pada ulasan artikel di laman portal dan komuniti dalam talian,” katanya.

Isnin lalu, syarikat milik Kerajaan Selangor itu memaklumkan notis pemula atau writ saman akan dikemukakan kepada pihak yang menyebarkan fitnah berhubung projek SMG.

Katanya, tohmahan melalui Facebook dan YouTube baru-baru ini jelas usaha pihak tertentu yang sengaja mengulang siar isu sama berulang kali yang telah dijelaskan sebelum ini.

Pada 1 Mac, LLSB menjelaskan projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang yang dianggar bernilai RM700 juta dilaksanakan bagi menangani isu pencemaran air dan banjir besar.

Syarikat itu yang ditugaskan memajukan sungai tersebut bawah projek SMG, menjalankan kerja sepanjang 56 kilometer secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.


Pengarang :