Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

LLSB ambil tindakan undang-undang isu fitnah bangunkan Sungai Klang

SHAH ALAM, 31 JULAI: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah berhubung projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Menerusi kenyataan, syarikat milik Kerajaan Selangor itu memaklumkan notis pemula atau writ saman akan dikemukakan kepada pihak yang melemparkan tohmahan dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

“Tohmahan dan fitnah yang dilemparkan melalui Facebook dan YouTube baru-baru ini jelas usaha pihak tertentu yang sengaja mengulang siar isu sama berulang kali yang telah dijelaskan sebelum ini.

“Memandangkan ia berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasi LLSB, maka kami arahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memulakan dan menyebarkannya,” kata syarikat itu.

Pada 1 Mac, LLSB menjelaskan projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang yang dianggar bernilai RM700 juta dilaksanakan bagi menangani isu pencemaran air dan banjir besar.

Syarikat itu yang ditugaskan memajukan sungai tersebut bawah projek SMG, menjalankan kerja sepanjang 56 kilometer secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Berikut kenyataan penuh maklum balas kepada tuduhan dan tohmahan individu tertentu mengenai projek SMG kendalian LLSB:

Memandangkan fitnah-fitnah berkenaan adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasi Landasan Lumayan Sdn. Bhd. maka kami telah mengarahkan pihak peguam kami untuk mengambil prosedur tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah memulakan serta menyebarkan tomahan dan fitnah ke atas syarikat dengan notis pemula/writ saman akan dikemukakan dalam tempoh tujuh (7) hari dari kenyataan media ini dikeluarkan.

Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) menerima beberapa laporan terdapat tuduhan dan tohmahan lama yang diulang siar tentang inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) oleh pihak yang tidak bertanggung jawab di laman Facebook serta YouTube. Pihak Landasan Lumayan ingin menegaskan bahawa semua kelulusan untuk projek-projek yang dijalankan oleh LLSB adalah telus dan mematuhi piawaian dengan prosedur kawalan yang tinggi seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Projek SMG merupakan projek integrasi bersepadu pembersihan serta pembangunan sungai untuk mencipta nilai dan meningkatkan peluang sosioekonomi di sepanjang 56km jajaran Sungai Klang. Ia adalah satu projek jangka panjang yang sangat penting khususnya untuk pembangunan perumahan rakyat serta keterjaminan sumber bekalan air bagi rakyat Selangor dimasa hadapan. Segala urusan yang berkaitan projek SMG ini di pantau dengan rapi oleh agensi-agensi berkaitan, MBI dan juga Kerajaan Negeri.

Landasan Lumayan sentiasa mengamalkan “good governance” dalam tatacara kerja serta bertanggungjawab dalam semua projek kami termasuk isu berkaitan alam sekitar. Pengiktirafan ini jelas telah terbukti melalui anugerah-anugerah alam sekitar di peringkat domestik dan antarabangsa yang telah diterima oleh LLSB. Adalah menjadi amalan kami untuk sentiasa menguruskan projek ini secara telus, teratur dan berintegriti bagi menepati matlamat yang telah di gariskan oleh Kerajaan Negeri.

Tohmahan serta fitnah yang dilemparkan melalui Facebook dan Youtube baru-baru ini adalah jelas usaha-usaha pihak tertentu yang sengaja mengulangsiar isu sama berulang kali yang telahpun kami jelaskan sebelum ini. Memandangkan fitnah-fitnah berkenaan adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasi Landasan Lumayan Sdn. Bhd. maka kami telah mengarahkan pihak peguam kami untuk mengambil prosedur tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah memulakan serta menyebarkan tomahan dan fitnah ke atas syarikat dengan notis pemula/writ saman akan dikemukakan dalam tempoh tujuh (7) hari dari kenyataan media ini dikeluarkan.

 


Pengarang :