Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Balakong di balai raya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Barangan segar, berkualiti tarikan pengunjung berulang kali ke jualan murah

HULU LANGAT, 3 SEPT: Kualiti barangan setanding pasar raya membuatkan pengunjung sanggup datang berulang kali ke program Jelajah Ehsan Rahmah (JER).

Kakitangan swasta, Muhammad Hazly Aris, 39, berkata beliau yang tinggal di Balakong sanggup datang ke Cheras, Kajang atau Bangi jika program berkenaan dianjurkan di kawasan sekitar.

Muhammad Hazly Aris, 39. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Rasanya sudah lebih 15 kali datang ke program ini, memang jimat dan barangan juga berkualiti dan segar.

“Walaupun harga murah daripada pasaran mereka beri pelanggan barangan yang berkualiti setanding pasar raya,” katanya ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Balai Raya TCU, Taman Cheras Utama di sini, hari ini.

Kakitangan swasta Norzela Hussin, 43, berkata beliau datang buat kali kedua kerana puas hati dengan kualiti barangan yang dijual.

Norzela Hussin, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya baru tahu daripada rakan mengenai program ini jadi cuba beli pada kali pertama dan sangat puas hati dengan kualiti barangan kebetulan hari ini cuti jadi saya datang semula kali ini,” katanya.

Sementara itu Jamal Akhim , 60, yang menawarkan khidmat pemotongan ayam pada harga RM2 seekor pada jualan itu bersyukur kerana boleh menambah pendapatan pada program itu.

Jamal Akhim, 60, menyediakan perkhidmatan memotong ayam dengan bayaran RM2 seekor pada program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Balakong di balai raya Taman Cheras Utama, Kajang. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Pendapatan tidak menentu, pernah juga dapat potong 50 ekor ayam sehari di JER lain dan ada juga lebih sedikit bilangannya. Namun saya bersyukur dapat tambah pendapatan di sini dan pihak penganjur pun tiada halangan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan asas yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Balakong di balai raya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :