EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menanam pokok selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Negeri Selangor dan Penutup Mini Ekspidisi Biodiversiti Sungai Chiling di Pusat Santuari Ikan Kelah Sungai Chiling, Hulu Selangor pada 22 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Dana RM100,000 laksana kajian biodiversiti Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 22 SEPT: Sejumlah RM100,000 diperuntuk bagi melaksanakan program penyelidikan biodiversiti di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor, kata EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata dana disalur Kerajaan Negeri kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) itu bertujuan memulihara ekosistem serta kehidupan biologi sekali gus menjamin kelangsungan khazanah hutan pada masa depan

“Cetusan idea program ini bermula selepas JPNS mengadakan sembah taklimat Pelan Induk Pembangunan Hutan Warisan Diraja Negeri Selangor kepada Sultan Selangor pada Mac lalu.

“Program penyelidikan ini penting untuk mengenal pasti kawasan hutan yang mempunyai nilai tinggi biologi untuk dilindungi sebagai kawasan pemeliharaan dan khazanah alam.

“Sebanyak 50 penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam dan agensi tempatan terlibat dalam program bermula 18 hingga 22 September. Data yang diperoleh membantu JPNS untuk terus memelihara khazanah alam,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penutupan program Ekspedisi Saintifik Biodiversiti di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor semalam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (tengah) dan Pengarah Perhutanan Negeri Azhar Ahmad (kiri) serta Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Noraisyah Abu Bakar (kanan) memberi makanan kepada pelbagai jenis ikan air tawar selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Negeri Selangor dan Penutup Mini Ekspidisi Biodiversiti Sungai Chiling di Pusat Santuari Ikan Kelah Sungai Chiling, Hulu Selangor pada 22 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata Kerajaan Negeri dengan kerjasama JPNS sentiasa bekerjasama dari semasa ke semasa melindungi kawasan hutan.

“Salah satunya penganjuran Ekspedisi Saintifik Biodiversiti Diraja Taman Negeri Bukit Fraser untuk menjalankan kajian saintifik ke atas tumbuhan ubatan di Bukit Fraser pada tahun 2019.

“Usaha ini diteruskan pula dengan Ekspedisi Saintifik Biodiversiti di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor  yang berakhir hari ini (semalam),” katanya.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin melepaskan anak ikan kelah selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Negeri Selangor dan Penutup Mini Ekspidisi Biodiversiti Sungai Chiling di Pusat Santuari Ikan Kelah Sungai Chiling, Hulu Selangor pada 22 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :