EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim membantu membungkus barangan asas yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Negeri cadang teruskan jualan murah tahun depan, manfaat lebih lima juta rakyat

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang untuk meneruskan inisiatif jualan murah pada tahun depan susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

EXCO pertanian berkata program yang menjual barangan asas antaranya ayam, telur, ikan dan minyak masak itu akan ditambah baik termasuk melaksanakan penjenamaan semula.

“Kerajaan Negeri melalui PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) bercadang menghentikan program pada pertengahan tahun ini. Atas keprihatinan, kita sedang meneliti untuk meneruskannya sesuai dengan nama program jualan iaitu Ehsan dan Rahmah.

“Insya-Allah program akan teruskan dalam format yang berbeza tetapi matlamatnya tetap sama demi kebajikan rakyat. Saya yakin kita akan jalankan lebih banyak kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan untuk bantu rakyat,” katanya.

Ir Izham Hashim berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Jualan Ehsan Rahmah dan Pelancaran Logo Baharu PKPS di Dewan Orkid Wisma PKPS di sini, semalam.

Beliau berkata Selangor membelanjakan sejumlah RM40 juta dalam bentuk subsidi untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu kemudian dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah (JER) selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :