Orang ramai memilih pelbagai barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja di Kampung Johan Setia, Klang pada 20 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

TINJAUAN: Jualan murah jimatkan belanja, ramai mahu program diteruskan

SHAH ALAM, 7 OGOS: Program jualan murah barangan asas yang menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Mula dilaksana tahun lalu, inisiatif Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang mendapat sambutan ramai mungkin diteruskan setahun lagi untuk mengurangkan tekanan mendepani kos hidup tinggi.

Berikut reaksi orang ramai mengenai program tersebut:

 

Siti Aminah Bulat

JER memang membantu kerana barangan asas seperti ayam telur dan beras dijual pada harga serendah RM10 setiap satu. Bagi keluarga yang besar dan berpendapatan rendah, memang amat membantu.

Harap program ini diteruskan agar lebih ramai dapat manfaat kerana kos sara hidup semakin meningkat dan ramai yang terkesan.

Siti Aminah Bulat, 60, suri rumah

 

Raja Syazwani Asdayanty Raja Yunus

Saya lihat usaha Kerajaan Negeri laksana jualan murah memberi kesan besar. Bukan sahaja memanfaatkan berpendapatan rendah (B40), tetapi termasuk berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai tanggungan besar.

Inisiatif ini secara tidak langsung membantu mencegah masalah kekurangan zat makanan apabila mereka dapat beli makanan berkhasiat pada harga murah.

Raja Syazwani Asdayanty Raja Yunus, 31, juruterapi

 

Naim Mohamad

JER ini bagus. Barang memang murah, ayam pun hanya RM10. Kalau boleh tambahkan lagi kuantiti barangan keperluan asas sebab penduduk yang datang ramai. Kalau habis kupon, kena pergi tempat lain pula (program sama).

Naim Mohamad, 43, peniaga

 

Rosniati Mokhtar

Ibu mertua saya selalu pergi JER di Olak Lempit, Sepang sebab memang murah. Ramai yang berebut sampai pernah kami tidak dapat peluang untuk beli.

Saya setuju kalau wujudkan pasar mini untuk jualan murah barangan asas. Kalau boleh, kekerapan program JER juga ditambah supaya lebih ramai dapat manfaat.

Rosniati Mokhtar, 33, peniaga

 

Quarol Hisham Rohmad

Program jualan murah itu sangat bagus. Setiap kali trak datang ke kampung ini, ia akan sentiasa dapat sambutan menggalakkan dan ramai.

Saya harap ia diteruskan sampai bila-bila kerana jualan murah ini sangat membantu rakyat, terutamanya penduduk kampung.

Quarol Hisham Rohmad, 52, jurujual

 

Ahmad Fardaus Abdullah

Saya sangat suka jualan murah JER ini. Tetapi saya harap dapat tambahkan lebih banyak barang mentah seperti ayam 1,000 ekor untuk setiap kali jualan.

Kalau wujudkan kedai lagi bagus. Sebagai contoh, kedai franchise supaya jadi pusat untuk orang ramai datang. Tidak perlu lagi tunggu trak.

Ahmad Fardaus Abdullah, 50, pesara

 

P Saantha

Saya selalu tertunggu-tunggu program jualan murah ini. Kalau trak PKPS datang, saya tahu dapat jimat barang dapur untuk beberapa minggu.

Saya harap Kerajaan Negeri jangan hentikan program ini. Ia sangat bagus kerana kurangkan beban kita.

P Saantha, 36, suri rumah

 

Naimah Mohamad Noh

Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri kerana melaksanakan JER memandangkan memang ramai yang terkesan dengan kenaikan harga barangan di pasaran.

Saya sangat berharap program ini diteruskan dan dikembangkan dengan penambahbaikan agar manfaatnya dapaT dirasai oleh rakyat terutama golongan B40.

Naimah Mohamad Noh, 34, peniaga kecil

 

Norazwana Mohamad Ashari

Dengan situasi kenaikan harga barangan yang memberi kesan kepada rakyat, saya rasa program JER merupakan salah satu inisiatif yang sangat baik daripada Kerajaan Negeri.

Walaupun belum berkesempatan untuk ke jualan itu, tetapi banyak yang saya dengar barangan dijual dengan murah dan kualitinya sangat baik. Jadi, saya rasa usaha kerajaan perlu diteruskan.

Norazwana Mohamad Ashari, 36, kerani

 

Sharul Nizam Md Shadan

Apa yang menarik mengenai jualan ini adalah rakyat boleh berbelanja barangan berkualiti dengan harga yang murah berbanding di pasaran.

Ayam seekor RM10 dan telur sepapan pun RM10, memang tidak akan dapat harga semurah ini dan sudah tentu membantu orang-orang yang susah.

Sharul Nizam Md Shadan, 38, operator pengeluaran


Pengarang :