Pengasas Global World Tour & Travel Sdn Bhd, Lee Sei Loong, 47, menunjukkan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) selepas diiktiraf sebagai pemandu pelancong pertama dari Malaysia yang melancong ke 195 negara di dunia pada Januari 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Pemandu pelancong diiktiraf Malaysia Book of Records selepas lawat 195 negara

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Minat mengembara sejak kecil ternyata berbaloi apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemandu pelancong pertama dari Malaysia yang melancong ke 195 negara di dunia pada Januari lalu.

Lee Sei Loong, 47, yang menjadi pemandu pelancong sejak 1996 sudah melawat semua negara berkenaan melalui perkhidmatannya dengan pelbagai agensi pelancongan.

Antara negara pernah dilawati ialah Afghanistan, Uganda, Haiti, Arab Saudi, Iraq, China, Afrika Selatan, Namibia, Nigeria, Afghanistan, Tuvalu, Bhutan, Senegal, Korea Utara, Vietnam, Filipina, Indonesia, Somalia dan banyak lagi selain pernah menjejak kaki di Kutub Utara.

Bapa dua cahaya mata itu berkata pengiktirafan berkenaan merupakan sejarah yang cukup membanggakan buat dirinya dan akan sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik dalam kerjaya.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menyuntik semangat saya untuk terus berani mencuba perkara baharu, tetapi turut menjadi bukti penting dalam karier saya,” katanya baru-baru ini.

Menceritakan perjalanan kerjayanya, pengasas Global World Tour & Travel Sdn Bhd itu berkata sebagai pemandu pelancong, beliau perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai industri pelancongan.

“Tugas pemandu pelancong adalah menemani pelanggannya sama ada individu atau berkumpulan ketika mereka melancong atau melawat tempat tarikan pelancongan.

Pengasas Global World Tour & Travel Sdn Bhd, Lee Sei Loong, 47, diiktiraf pemandu pelancong pertama dari Malaysia yang melancong ke 195 negara di dunia pada Januari 2023. Foto Bernama

“Biasanya, saya akan bertindak dalam menguruskan visa pelancong, menyampaikan maklumat, komentari, menjawab sebarang persoalan selain memastikan jadual perjalanan mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik,” katanya.

Meskipun puas dengan apa yang dilakukan, Lee bagaimanapun tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang menceburi kerjaya berkenaan.

Antaranya perlu berdepan pelbagai kerenah pelanggan, birokrasi imigresen serta perbezaan makanan di setiap negara yang dilawati selain kenaikan kos tambang penerbangan yang boleh memberi kesan kepada harga pakej.

“Namun, cabaran itu boleh dianggap kecil kerana lebih banyak perkara menyeronokkan terjadi antaranya apabila mendapat kepercayaan tinggi daripada pelanggan sama berulang kali,” katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam industri pelancongan.

Biarpun senang mengembara ke negara orang, anak kelahiran Seri Kembangan, Selangor ini bagaimanapun tetap berbangga dilahirkan di Malaysia, bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.

“Keunikan Malaysia tidak akan dapat diperoleh atau didapati di mana-mana negara lain di dunia ini dan sekiranya ada sekalipun, suasananya pasti amat berbeza dengan negara kita,” katanya yang bercadang membukukan pengalamannya sebagai pemandu pelancong, dalam tempoh terdekat.

– BERNAMA


Pengarang :