BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pesta di Pantai Bagan Lalang Sabtu ini, hidang 100,000 cucuk sate

SHAH ALAM, 12 SEPT: Seramai 10,000 pengunjung disasar memeriahkan Fiesta Sate Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 16 September ini.

EXCO Kemajuan Datuk Rizam Ismail berkata bermula jam 10 pagi hingga 2 petang, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk hidangan 100,000 cucuk sate percuma kepada pengunjung.

“Kali ini kita menyasarkan mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyediaan 100,000 cucuk sate yang mana rekod terdahulu direkodkan pada 2015 dengan 50,000 cucuk sate.

“Ini juga berikutan kejayaan pengiktirafan MBOR untuk penyediaan 2022 dulang nasi ambeng dalam Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor tahun lalu.

“Sebanyak 10 vendor sate dari seluruh Selangor akan turut serta dalam fiesta kali ini,” katanya dalam temubual di Selangorfm mengenai Fiesta Sate Selangor, semalam.

Rizam berkata pengisian lain termasuk persembahan artis, gerai jualan, pameran, cabutan bertuah, pertandingan pakaian beragam dan pertandingan video pendek bertema Hari Malaysia, Kita Selangor dan sate.

“Objektif penganjuran fiesta ini antaranya bagi mempromosi sate sebagai makanan tradisi yang mempunyai nilai tinggi di Selangor.

“Ia juga dapat melonjakkan daya saing peniaga terutama pengusaha sate di kampung tradisi bagi menjana ekonomi desa selain menarik penglibatan penduduk kampung dalam program Kerajaan Negeri.

“Fiesta ini juga dapat menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara datang ke Selangor untuk mencuba juadah istimewa ini,” katanya.


Pengarang :