Sate Kajang antara hidangan paling terkenal sehingga menarik orang ramai datang berkunjung untuk menikmati juadah itu yang dijual di banyak restoran terkemuka di kawasan terbabit. Foto vkeong.com
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selepas nasi ambeng, sate Kajang akan diwarta makanan warisan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selain nasi ambeng, satu lagi menu popular iaitu sate Kajang akan diwartakan sebagai makanan tradisi dan warisan Selangor, kata EXCO kemajuan desa.

Datuk Rizam Ismail menjelaskan pewartaan tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Dalam temu bual bersama Selangorfm berkenaan Fiesta Sate Selangor, beliau menjelaskan usaha itu dapat memartabatkan makanan berkenaan tanpa mengetepikan juadah lain.

“Kerajaan Negeri mengiktiraf sate Kajang sebagai salah satu makanan identiti. Ia akan diwartakan sebagai makanan warisan dalam masa terdekat,” katanya semalam.

Seramai 10,000 pengunjung disasar memeriahkan Fiesta Sate Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 16 September dengan pelbagai pengisian termasuk penyediaan 100,000 cucuk sate.

Pada November tahun lalu, nasi ambeng diwartakan sebagai makanan warisan bagi memberi ketetapan untuk ciri-ciri makanan berkenaan yang asli dan berasal dari Selangor.


Pengarang :