Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Ranking Unisel meningkat, 95.7 peratus graduan dapat kerja

KUALA SELANGOR, 9 SEPT: Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Selangor (Unisel) terus meningkat apabila merekodkan 95.7 peratus pada tahun lalu, lebih tinggi berbanding 90 peratus purata kebangsaan.

Dato’ Menteri Besar berkata pencapaian itu meletakkan universiti milik Kerajaan Negeri di tangga ke-15 daripada keseluruhan 360 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara.

“Fakta ini berdasarkan kajian keberkesanan graduan 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 24 Ogos lalu. Walaupun berada di tangga ke-15, namun jika diukur dari segi jumlah alumni, Unisel memiliki jumlah jauh lebih tinggi dan wajar dibanggakan.

“Kejayaan ini hasil usaha dilakukan antaranya penubuhan Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil, pengajian jangka pendek Smart Tahfiz, program Bakti Siswa serta beberapa lagi program lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Istiadat Konvokesyen ke-17 Unisel hari ini.

Pada 2021, kadar kebolehpasaran graduan Unisel ialah 90.5 peratus manakala setahun sebelumnya 71.4 peratus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau juga berbangga apabila institusi itu terus menjadi pilihan ramai walaupun bersaing dengan universiti swasta dan antarabangsa lain.

“Pada pengambilan sesi Ogos dan April lepas, saya dimaklumkan Unisel mencatatkan jumlah kemasukan tertinggi, lebih 2,069 orang. Saya yakin sasaran kemasukan tahunan sebanyak 3,442 pelajar dapat dicapai.

“Ini membuktikan masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa menaruhkan harapan dan keyakinan tinggi terhadap Unisel dalam membentuk mahasiswanya menjadi insan berjaya,” katanya.

Hari ini dan esok, seramai 1,306 pelajar merangkumi 583 graduan diploma, ijazah (670), ijazah sarjana (36) dan doktor falsafah (PhD) seramai 18 orang menerima anugerah masing-masing menerusi tiga sidang.

Canselor Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik dan Kemasyarakatan kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Graduan Universiti Selangor (Unisel) menerima anugerah sempena Istiadat Konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Graduan Universiti Selangor (Unisel) menerima anugerah sempena Istiadat Konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :