Sejarah aktivisme dan kepemimpinan Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam bidang dakwah dan pendidikan membuktikan kemampuan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018 mampu memimpin masyarakat Islam melalui pembaharuan dakwah. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bawa pendekatan sederhana, Dr Siddiq Fadzil pelopor manhaj berciri Malaysia

SHAH ALAM, 9 FEB: Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil ditubuhkan di Universiti Selangor (Unisel) pada 2022 menerusi peruntukan RM5 juta.

Selain memperingati ketokohannya, penubuhan kursi dan institut itu bertujuan mengupas pemikiran almarhum yang berpengaruh dalam bidang akademik, Islam dan kebudayaan Melayu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Unisel pada 9 Februari. Wartawan Abdul Rahim Sabri mengimbau ketokohan Dr Siddiq.


Pandangan Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil tentang peradaban Melayu-Islam, dakwah, sejarah dan pemikiran Islam, sastera dan budaya, gerakan serta pengurusan organisasi Islam perlu digali dan dihadam.

Rambu-rambu pemikiran intelektual awam kelahiran Bagan Datuk terakam dalam puluhan karya termasuk buku, monograf, jurnal, artikel, kata pengantar, syarahan, pidato dan ucaptama selaku presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) antara 1983 hingga 1991 dan presiden Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) mulai 2005 hingga 2015.

Memiliki doktor falsafah (PhD) dalam bidang falsafah Islam dan kebudayaan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau antara ahli akademik di Jabatan Persuratan Melayu UKM yang menekuni bidang pemikiran Islam dan tamadun Melayu.

Bekas pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dan presiden Kolej Dar Al-Hikmah itu juga bergiat dalam kegiatan dakwah, penulisan dan syarahan. Tokoh itu juga dilantik sebagai Prof Adjung oleh Universiti Selangor (Unisel) pada 2016.

Sejarah aktivisme dan kepemimpinan Dr Siddiq dalam bidang dakwah dan pendidikan membuktikan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018 mampu memimpin masyarakat Islam melalui pembaharuan dakwah.

Sejak di menara gading, beliau memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Kepimpinan beliau terserlah apabila menerajui Abim dengan menggantikan presiden ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyertai Umno pada 1982.

Zaman sukar

Berkat kesabaran, Dr Siddiq bersama pimpinan lain menempuhi zaman sukar sepanjang 1980-an berikutan anggota dan penyokong Abim membantah kemasukan Anwar ke dalam Umno yang dianggap “tidak syar’ie”.

Pengalaman dan cabaran memimpin organisasi serta akademik, berdamping dengan masyarakat selain menyedari realiti masyarakat majmuk membentuk pemikiran dan pandangan sarwa beliau. Bergelumang isu berkaitan Islam, pendidikan dan dakwah memberi buah fikiran kepada tokoh itu untuk membentuk minda Melayu baharu.

Idea-idea beliau termuat dalam pelbagai buku antaranya Mengangkat Martabat Umat, Minda Melayu Baharu, Pemerkasaan Bangsa: Peranan Kepimpinan, Agama dan Budaya, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan I & II, Islam dan Melayu, Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan, Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu, Kebangkitan Umat: Kenyataan dan Harapan serta Pengurusan Islami: Menghayati Nilai-nilai Qur’ani.

Dr Siddiq banyak merumus konsep pemikiran antaranya ‘Manhaj Maliziy’, fiqh kerjasama, fiqh dakwah, fiqh siyasah dan fiqh kenegaraan selain berusaha membumikan konsep maqasid syariah dan gagasan rahmatan lil alamin.

Pendakwah bukan penghukum

Ia dilihat sebagai garis panduan kepada pendakwah, pendidik dan cerdik pandai untuk menjadi ilmuan pembaharu dan islah yang terjun ke medan dakwah masyarakat yang jamak budaya, agama dan kepercayaan.

Sejak menerajui Abim, saat ledakan kebangkitan Islam yang kuat dipengaruhi Ikhwan Muslimin, Jamaat Islami dan Revolusi Iran pada dekad 1980-an, Dr Siddiq menggagaskan dakwah dan berpolitik ‘Manhaj Maliziy’ (kaedah berciri Malaysia) yang sejajar dengan pluraliti rakyat yang rencam budaya dan agama.

“Siddiq Fadzil telah mengemukakan satu gagasan seperti hikmah dalam berdakwah dan berpolitik, memperkenalkan pendekatan Manhaj Maliziy dan menggunakan kaedah penglibatan dan pembetulan (corrective participation),” tulis Profesor Shaharuddin Badaruddin dalam buku ‘Masyarakat Madani dan Politik’.

Dr Siddiq menggagaskan pendekatan sederhana sebagai kritikan terhadap gejala ekstremisme dan pelabelan takfiri melalui konsep ‘pendakwah bukan penghukum’. Kaedah itu tidak bergantung secara mutlak terhadap pendekatan gerakan Islam di luar negara termasuk Ikhwan Muslimin di Timur Tengah, Jamaat Islami di Indo-Pakistan atau pendekatan politik revolusioner dari Iran.

Dalam erti kata lain, pemimpin dan aktivis badan itu bebas berpolitik. Pada masa sama memainkan peranan mempengaruhi iklim politik negara. Ia juga menitik berat agenda perpaduan ummah dan sedia berganding bahu, sebagai rakan pembinaan negara, dengan pemerintah secara selektif berkaitan proses Islamisasi.

Selaku sarjana Islam, Dr Siddiq menyuburkan konsep maqasid syariah berasaskan al-Quran susulan gelombang kesedaran rakyat terhadap wacana itu. Buku ‘Maqasid Shariah Dalam Ranah Demokrasi’ menjadi bukti iltizam berkenaan.

Badan penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE) giat mengadakan wacana, syarahan dan seminar serta penyelidikan mengenai maqasid sebelum membukukannya menerusi ‘Kompendium Maqasid Syariah’.

Bagi menambah khazanah ilmu dan membumikan pemikiran Dr Siddiq, Kerajaan Selangor menubuhkan Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil menerusi dana RM1 juta dalam Belanjawan 2022.

Peruntukan tambahan RM4 juta melengkapkan lagi penubuhan institut tersebut di Universiti Selangor (Unisel) termasuk penterjemahan karya cendekiawan itu.

Penubuhan Kursi Siddiq Fadzil sekali gus memperingati ketokohan beliau yang berpengaruh dalam polemik berkaitan Islam, bidang akademik dan kebudayaan Melayu.


Pengarang :