Canselor Universiti Selangor (Unisel) Raja Tan Sri Arshad Alhaj menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik dan Kemasyarakat kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada istiadat konvokesyen ke-17 institusi berkenaan di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,306 graduan dirai pada istiadat konvokesyen Unisel, Wan Azizah terima anugerah khas

KUALA SELANGOR, 9 SEPT: Seramai 1,306 pelajar Universiti Selangor (Unisel) menerima anugerah masing-masing sempena istiadat konvokesyen ke-17 institusi berkenaan yang berlangsung hari ini dan esok.

Jumlah itu merangkumi 583 graduan diploma, ijazah (670), ijazah sarjana (36) dan doktor falsafah (PhD) seramai 18 orang selain empat pelajar menerima anugerah utama.

Berlangsung di Dewan Canselor kampus Bestari Jaya, majlis disempurnakan Canselor Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam majlis berkenaan Arshad turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik dan Kemasyarakat kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada negara.

Presiden Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu prihatin dengan perjalanan universiti malah bermurah hati memberi pelbagai kategori kecemerlangan ketika konvokesyen ke-14.

“Pada Oktober 2018, Wan Azizah berkunjung ke Unisel bagi merasmikan persidangan kebangsaaan wanita dan kanak-kanak selain Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka Unisel 2018.

“Wan Azizah adalah tokoh yang dikenali sebagai wanita berjiwa kental dan pemimpin yang cekal. Beliau juga adalah wanita pertama pernah memimpin parti politik besar dan berpengaruh selain pernah menjadi ketua pembangkang di parlimen,” katanya.

Seramai 1,306 pelajar Universiti Selangor (Unisel) menerima anugerah masing-masing sempena istiadat konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Unisel yang ditubuhkan pada Ogos 1999 beroperasi di dua kampus, masing-masing di Bestari Jaya, dekat sini dan Seksyen 7, Shah Alam.

Penubuhan pusat pengajian tinggi itu seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai hub pendidikan serantau yang terunggul.

Sehingga kini pusat pengajian milik Kerajaan Selangor mencatat beberapa kejayaan dengan terbaharu mendapat keputusan berdaya saing bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) 2022.

Universiti Selangor (Unisel) Kampus estari Jaya, Kuala Selangor (gambar hiasan). Foto Facebook Unisel

 

 


Pengarang :