EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah melawat reruai pameran selepas merasmikan Karnival Jejak Warisan Merdeka 2023 dan pelancaran Buku Pemetaan Warisan Bandar-bandar Diraja di Istana Bandar Kuala Langat pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM770,000 disalur untuk pulihara bangunan Istana Bandar

KUALA LANGAT, 17 SEPT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan dana RM770,000 bagi memulihara bangunan Istana Bandar di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) berkata daripada jumlah itu RM420,000 disalurkan untuk kajian kerosakan dan kerja penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan (CMP).

Menurut Mohd Yusri Mohd Yusoff bakinya RM350,000 diluluskan bagi Kerja Pemuliharaan Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) di bawah peruntukan Pemerkasaan Sektor Pelancongan dan Kebudayaan dan Warisan 2022.

“MOTAC memandang serius terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan seperti Istana Bandar ini yang amat penting sebagai produk pelancongan Selangor.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Mohd Yusri Mohd Yusoff berucap ketika majlis perasmian Karnival Jejak Warisan Merdeka 2023 dan pelancaran Buku Pemetaan Warisan Bandar-bandar Diraja di Istana Bandar Kuala Langat pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Justeru, besarlah harapan saya agar hubungan baik dan persefahaman yang terjalin sekian lama antara MOTAC dan Kerajaan Selangor akan berkekalan demi kelestarian warisan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka di Istana Bandar, Jugra di sini semalam.

Turut hadir EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah.

Dalam program sama, Borhan turut melancarkan buku ‘Pemetaan Warisan Bandar-Bandar Diraja Di Malaysia’ yang merupakan penerbitan secara bersama Jabatan Warisan Negeri dan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.


Pengarang :