Pengunjung menikmati sate percuma ketika majlis perasmian Fiesta Sate Selangor 2023 dan mencatatkan rekod Malaysian Book Of Record (MBOR) dengan hidangan 100,000 cucuk sate di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pewartaan sate Kajang bakal kembalikan kegemilangan, tarik pelancong ke Selangor

SEPANG, 17 SEPT: Pewartaan sate Kajang sebagai makanan warisan Selangor bakal mengembalikan kegemilangan sate terutamanya kepada golongan belia.

Eksekutif Pemasaran Kumpulan Sate Kajang Haji Samuri, Muhammad Rafizan Yusoff berkata sate kurang mendapat tempat di hati golongan itu berikutan persaingan hebat makanan segera.

“Orang muda semakin tidak menggemari sate kerana mereka lebih tertarik makanan segera dan makanan yang tular seperti di kafe dan sebagainya.

“Jadi dengan pengiktirafan ini, saya berharap jualan sate akan meningkat dan lebih ramai orang tahu mengenai keistimewaan sate Kajang,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan mengedarkan 100,000 cucuk sate percuma dalam Fiesta Sate Selangor 2023 di sini semalam.

Kerajaan Negeri juga mengumumkan sate Kajang bakal diwartakan sebagai makanan warisan Selangor tahun hadapan, selepas hidangan nasi ambeng yang diwarta November tahun lalu.

Sementara itu, juruteknik, Khalid Maarif, 37, berkata beliau mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk membawa keluarganya ke program berkenaan.

Pekerja membakar sate pada majlis perasmian Fiesta Sate Selangor 2023 dan mencatatkan rekod Malaysian Book Of Record (MBOR) dengan hidangan 100,000 cucuk sate di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hari ini cuti, jadi saya bawa 11 orang ahli keluarga saya ke pantai Bagan Lalang untuk menikmati sate percuma. Saya sudah tunggu program ini sejak dua minggu lalu.

“Saya merupakan peminat sate. Jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk bersantai dan menikmati sate bersama seisi keluarga,” katanya.

Bagi suri rumah, Norasfarhana Adnan, 43, beliau berharap program fiesta sate dapat dianjurkan sebagai acara tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Selangor.


Norasfarhana Adnan, 43, ditemui ketika Fiesta Sate Selangor 2023 di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 16 September 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Program ini amat menarik. Selain dapat makan percuma, ia juga beri sumber rezeki kepada peniaga lain di pantai ini. Saya harap ia dapat diadakan setiap tahun,” katanya.


Pengarang :