Rumah kos rendah yang siap dibina di Taman Sungai Yu Indah, Kuala Selangor pada 12 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

426,656 rumah kos rendah, kampung terima pengecualian cukai taksiran

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Selangor meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan kampung untuk penggal kedua dari 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata salah satu komitmen utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran negeri itu melibatkan implikasi kewangan RM29.415 juta kepada semua pihak berkuasa tempatan.

“Bantuan secara bersasar ini diharap meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Perkara tersebut diumumkan dalam sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini berdasarkan ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada 23 Ogos, Amirudin menjelaskan Kerajaan Perpaduan di Selangor akan terus melaksanakan
manifestonya dalam tempoh 100 hari dengan mengutamakan lima tawaran penting.

Selain pengecualian cukai taksiran, pentadbiran negeri juga menaikkan elaun imam, bilal dan siak serta memberi insentif pertanian dan perikanan kepada 500 pesawah dan nelayan.

Sebagai rekod, pengecualian cukai taksiran bagi rumah kampung dan kos rendah diperkenal pentadbiran negeri setiap tahun sejak 2016.

 


Pengarang :