Nickelodeon Lost Lagoon antara tarikan di Sunway Lagoon, Subang Jaya (gambar hiasan). Foto Sunway Lagoon
AGENDANASIONAL

Contohi Selangor, kadar duti hiburan Wilayah Persekutuan turun tahun depan

SHAH ALAM, 13 OKT: Kadar duti hiburan di Wilayah Persekutuan turun tahun depan termasuk pengecualian penuh bagi persembahan pentas artis tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata duti hiburan taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator dikurangkan kepada lima peratus.

“Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

“Pengurangan ini susulan keputusan Kerajaan Selangor yang menurunkan kadar duti hiburan jadi kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu,” katanya ketika membentang Belanjawan 2024.

Anwar turut menyeru kerajaan negeri lain untuk berbuat demikian kerana langkah berkenaan mampu menyokong perkembangan bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.

Berkuat kuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026, Kerajaan Negeri bersetuju mengurangkan kadar Duti Hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di Selangor selama lima tahun.

Sepanjang tahun lalu juga, Kerajaan Negeri turut memberikan pengecualian duti hiburan selama setahun untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan.

 


Pengarang :