Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di Jalan Persiaran Elmina 1/1, Kuala Selangor pada 11 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: 118 projek turapan jalan mega di seluruh negeri selesai

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerja turapan jalan secara besar-besaran di sembilan daerah selesai sepenuhnya, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kerja turapan jalan untuk meningkatkan kualiti jalan raya di seluruh Selangor membabitkan 118 projek dengan jarak 94.9 kilometer.

“Semua jalan ini selesai diturap walaupun sedikit lewat atas beberapa faktor seperti cuaca.

“Kini kita hanya memfokuskan pemasangan lampu solar bagi fasa kedua yang juga hampir selesai dengan jumlah keseluruhan 790 tiang,” katanya kepada SelangorKini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan untuk Palestin di Bilik Mesyuarat MTES, Shah Alam pada 27 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Izham turut memaklumkan pihaknya bercadang menambah lagi lampu solar di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang keperluannya mendesak.

“Setakat ini, maklum balas diterima daripada penduduk positif dan ada juga wakil rakyat memberitahu ada sesetengah kawasan mereka memerlukan penambahan kemudahan itu.

“Kita akan lihat dan buat pertimbangan, jika ada keperluan mendesak pemasangan lampu solar dibuat cuma tidak melibatkan semua wakil rakyat,” jelasnya.

Projek Turapan Mega yang diselenggara Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Turapan jalan menggunakan kaedah kopak lapisan rosak dan turap lapisan baharu (mill and pave) selesai dilaksana di Jalan Tasik Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang siap dilaksanakan. Jalan tersebut sedia digunakan semula untuk kemudahan orang ramai. Foto Twitter Infrasel

Dato’ Menteri Besar berkata projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta itu bagi memastikan jalan raya negeri ini dalam keadaan baik untuk keselamatan pengguna.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pemilihan jalan untuk dibaik pulih berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang mereka laporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel.


Pengarang :