AGENDASUKANKINI

Anugerah bola sepak perkenal kategori baharu, iktiraf penjaring terbanyak

SHAH ALAM, 31 OKT: Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) yang berlangsung bulan depan memperkenal dua kategori baharu bagi mengiktiraf pemain dan jurulatih dalam Liga Malaysia musim ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan dua kategori itu meliputi pemain terbaik dan penjaring terbanyak Piala MFL yang julung kali diadakan tahun ini membabitkan pasukan bawah 23 tahun.

“Musim ini MFL memperkenal Piala MFL bagi menggantikan Liga Premier dan mengadakan semula pertandingan MFL Challenge Cup yang kali terakhir dianjur pada edisi kedua 2019.

“MFL juga berbesar hati dapat kembali menganjurkan acara berprestij (ABK23) secara fizikal yang bakal menyaksikan persaingan lebih menarik dengan kategori baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, pertambahan itu menjadikan keseluruhan 16 kategori dipertandingkan membabitkan kejohanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA, Liga Premier dan Piala Malaysia.

MFL memaklumkan Jawatankuasa Saringan ABK23 menyenaraikan 10 pemain terbaik untuk setiap kategori daripada keseluruhan 398 pemain berdasarkan penampilan bersama kelab.

Sementara itu, Anugerah Pasukan Terbaik akan diputuskan Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL manakala Anugerah Fair Play ditentukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Penyokong juga boleh mengundi pemenang kategori Fan XI dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 melalui platform SurveyMonkey mulai minggu depan.

Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pula diberikan kepada salah seorang pemenang empat kategori iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Berikut senarai 16 kategori anugerah yang dipertandingkan:

1. Anugerah Fair Play
2. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Piala MFL
3. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super
4. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Liga Super
5. FAN XI
6. Penjaga Gol Terbaik
7. Pertahanan Terbaik
8. Pemain Tengah Terbaik
9. Penyerang Terbaik
10. Pemain Import Terbaik
11. Pemain Muda Terbaik
12. Pemain Terbaik Piala MFL
13. Jurulatih Terbaik
14. Pasukan Terbaik
15. Gol Terbaik Liga Malaysia 2023
16. Most Valuable Player (MVP)


Pengarang :