Ribuan peserta hadir dalam himpunan solidariti sebagai tanda sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim zionis di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Lihat isu Palestin-Israel dari sudut pandang sejarah, kemanusiaan

SHAH ALAM, 31 OKT: Perdana Menteri menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat isu Palestin-Israel daripada sudut pandang sejarah dan kemanusiaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat tidak seharusnya melihat ia sebagai satu isu yang berbeza dengan sikap kita terhadap kemerdekaan.

“Jangan jadikan isu ini sebagai isu yang membedakan sikap kita terhadap apa itu kemerdekaan. Malaysia merdeka menolak penjajahan Inggeris dan kita bersama menentang penjajah Inggeris, mengapa kita agak berlembut bila ada penjajahan Israel ke atas Palestin?

“Ada suara yang menganggap kita agak terlalu keras dan bertentangan dengan sikap berkecuali Malaysia. Malaysia mendukung prinsip berkecuali tetapi tidak berkecuali dalam soal kezaliman, anak-anak dibunuh, dibom, keadilan dan kemanusiaan.

“Oleh itu, saya gesa rakyat (tanpa mengira kaum dan agama) jangan izin isu ini untuk memecah belah dan diperkotak-katikkan. Betul isu ini sangat dekat dengan umat Islam, tetapi ini adalah isu yang dekat dengan kemanusiaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang ingin tahu perkembangan lawatan kerja ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung isu Palestin-Israel di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menegaskan Malaysia konsisten dengan pendirian keras membantah keganasan rejim Zionis dan mengingatkan supaya tiada pihak mempermainkan isu itu untuk mendapat kepentingan politik

“Tidak usah dipolitikkan (walaupun) masing-masing ada pendirian atau mungkin sedikit perbedaan kecil tentang cara dan tindakan.

“Sepertimana yang pernah disebut dalam leluhur bangsa Melayu jangan kita mahu membina mahligai atas pusara. Orang derita, banyak terkorban, jangan kita gunakan ini sebagai mahligai politik atas pusara rakyat,” katanya.

Berhubung penyertaan dalam sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat bulan depan Anwar berkata Malaysia sedang berhubung dengan negara Asean lain termasuk China untuk mengetahui pendirian mereka.

“(Kehadiran Malaysia di) APEC kita sedang teliti. Kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan lain dan Asia ,” katanya.


Pengarang :