Pengujung mendapatkan barangan asas yang dibeli sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Cherakah, Kuala Selangor pada 2 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ibu berpantang ‘curi’ peluang kunjungi JER, pesara cari beras murah

KUALA SELANGOR, 2 OKT: Seorang ibu berpantang antara ratusan pengunjung yang tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Nor Syafiqah Mohd Satari, 33, yang baru 25 hari berpantang berkata beliau hadir berikutan lokasi jualan diadakan di hadapan kediamannya.

“Ini kali keempat saya datang program JER. Memang saya tunggu-tunggu kerana harga yang ditawarkan sangat murah dan dapat jimat banyak.

“Hari ini saya datang ditemani dua anak yang turut membantu mengangkat barangan. Syukur kerana dapat juga beli walaupun orang sangat ramai,” kata suri rumah yang baru melahirkan anak keempat itu.

Nor Syafiqah Mohd Satari ditemani anak-anak membeli barangan asas pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Cherakah, Kuala Selangor pada 2 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Balai Raya Kampung Bukit Cherakah di sini. Ia merupakan program kali keenam di kampung itu yang dihadiri lebih 400 penduduk.

Sementara itu, seorang pesara berkata beliau hadir semata-mata untuk membeli beras jenama Ehsan seberat 5 kilogram yang dijual pada harga RM13.

Menurut Abdul Rashid Dahli, 70, harga itu jauh lebih murah berbanding beras import dengan berat sama, yang dijual pada harga RM19.50 yang dilihat di pasar raya baru-baru ini.

Abdul Rashid Dahli

“Saya datang hari ini cuma untuk beli beras. Saya tengok beras di luar RM19.50. Terlalu mahal dan tidak masuk akal.

“Saya pernah beli beras jenama Ehsan sebelum ini dan kualitinya baik, hampir setanding kualiti beras tempatan kita,” kata bekas pesawah itu.

JER anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :