Orang ramai membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Kota Damansara di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah negeri terus dinanti ramai, beratur seawal 8.30 pagi

SHAH ALAM, 2 OKT: Lebih 250 pengunjung hadir membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, hari ini.

Penyelia Unit Jualan JER Muhammad Farid Mustafa berkata rata-rata pembeli beratur seawal 8.30 pagi meskipun gerai jualan dibuka 10 pagi.

Penyelia Unit Jualan PKPS Muhammad Farid. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ada segelintir pengunjung masih salah faham dan merungut, mereka ingat kita buka gerai jam 9 pagi sedangkan waktu dijadualkan adalah 10 pagi.

“Kita perlu berlaku adil dan ikut waktu operasi bagi memastikan semua pembeli dapat membeli barangan,” katanya ketika ditemui di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang.

Mengulas barangan asas yang laris dijual, Muhammad Farid berkata beras antara yang menjadi pilihan pembeli setiap hari diikuti telur dan ayam.

Wong Moi. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang warga emas Wong Moi, 74, mengakui ternanti-nanti jualan murah dianjurkan berhampiran tempat tinggalnya.

“Saya cadangkan selepas ini pihak penganjur boleh memberi laluan kepada warga emas membeli terlebih dahulu kerana rata-rata golongan seperti kami sudah agak uzur, kasihan perlu beratur panjang,” katanya.

Manakala, Razamah Mian, 72, memuji barangan JER yang berkualiti dan segar setanding dengan pasar raya besar.

“Terima kasih PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) kerana menganjurkan jualan murah ini, harap selepas ini lebih kerap dianjurkan,” jelasnya.

Razamah Mian. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Selain itu, Hussen Abdullah, 65, yang baharu pertama kali berkunjung ke JER teruja dengan harga barangannya yang murah berbanding beli di pasar raya.

“Hari ini saya beli beras, ikan, ayam, telur dan beberapa barangan asas lain jumlah semua tidak sampai RM100, sangat jimat. Saya rasa boleh tahan lebih sebulan memandangkan keluarga saya pun tidak ramai,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Orang ramai membeli barangan asas yang dijula murah sempena Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Kota Damansara di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :