Orang ramai yang hadir pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang pada 27 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI.
AGENDANASIONAL

Jualan murah barangan asas di tiga lokasi esok, mulai 10 pagi

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 OKT:  Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan di tiga lokasi esok.

Inisiatif meringankan beban rakyat kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijadual berlangsung di Kampung Sungai Terentang (Rawang) bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Jualan pada waktu sama turut diadakan di Bandar Baru Klang (berdekatan Restoran Ah Suee, Jalan Tepi Sungai) dan Kinrara (berhadapan PKM DUN Kinrara).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Agensi itu turut menjalin kerjasama dengan pasar raya Segi Fresh bagi pelaksanaan program JER di 55 cawangannya di seluruh negeri bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :