Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 4 Oktober 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah dinanti, ramai harap program bersambung tahun depan

GOMBAK, 4 OKT: Orang ramai terus mengunjungi program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk membeli barangan dapur.

Warga emas Zulkifle Mat, 61, berkata beliau dapat berjimat 30 peratus jika berbelanja di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) berbanding di pasar raya.

Zulkifle Mat. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

“Saya membeli dua papan telur, dua ekor ayam dan dua kampit beras. Saya membayar dengan harga lebih murah di JER. Alhamdulillah sedikit sebanyak membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga.

“Sebab itu ramai berharap program ini diteruskan hingga tahun depan. Dengan keadaan harga barangan naik, Kerajaan Negeri wajar meneruskan subsidi barangan asas,” katanya ditemui pada program JER peringkat DUN Sungai Tua, hari ini.

Pendapat sama dikongsi suri rumah Siti Kamariah Sadari, 29, yang berharap program tersebut disambung hingga ke tahun depan bagi meringankan perbelanjaan rakyat

“Di JER, bekalan seperti beras, telur dan ayam mudah diperoleh. Jadi, kita tidak perlu pergi ke banyak kedai untuk beli bekalan, di sini (JER) semua ada.

Siti Kamariah Sadari. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

“Saya beratur sejak 7.30 pagi untuk memenuhi keperluan bekalan keluarga saya bersama suami dan dua orang anak,” katanya

Seorang lagi pembeli, Rosmah Bargi, 48, berpandangan program jualan murah membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan golongan berpendapatan rendah.

“Saya mahu program ini diteruskan kerana ramai yang terkesan dari segi kewangan tidak mampu beli di luar kerana harga tersangat tinggi.

“Semoga jualan murah tidak terhenti setakat tahun ini sahaja. Saya berharap sangat program ini ada lagi pada tahun depan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 500 ekor ayam dan 400 pek beras Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) habis kurang dua jam pada program JER peringkat DUN Sungai Tua.

Rosmah Bargi. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

 

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 4 Oktober 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 4 Oktober 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

 


Pengarang :