Pengunjung membeli barangan asas yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai pada 8 Oktober 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah dinanti ramai, jimat belanja dapur hingga 30 peratus

AMPANG JAYA, 8 OKT: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus menjadi pilihan ramai untuk mendapatkan pelbagai keperluan asas.

Seorang pembeli Norrizan Bashah, 52, berkata program Jualan Ehsan Rahmah (JER) membantunya berjimat sehingga 30 peratus berbanding membeli barangan di pasar raya.

Norrizan Bashah

“Bukan sahaja bekalan cukup malah jimat belanja. Ini kelebihan program ini banding berbelanja di luar. Wajar diteruskan kerana membantu golongan tidak berkemampuan,” katanya.

Dia antara ratusan pengunjung yang ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai di sini. Jualan berkenaan dihadiri sekitar 250 orang seawal 7 pagi.

Pendapat sama turut dikongsi warga emas Nawi Anak Unggang, 68, yang mahukan program berkenaan perlu diteruskan tahun hadapan bagi membantu rakyat berdepan kos sara hidup tinggi.

“Beli ikan, ayam, beras dan telur di JER dapat penuhi stok bekalan dua minggu banding beli di luar kerana harga lebih mahal hingga terpaksa hadkan pembelian,” katanya.

Chow Woo

Seorang lagi warga emas Chow Woo, 66, berkata jualan murah menjimatkan sepuluh peratus perbelanjaan untuk mendapatkan bekalan barangan asas dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Penyelaras JER Muhammad Syahmi Asymawi berkata sebanyak 200 papan telur dan 250 pek beras Ehsan keluaran PKPS habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

 


Pengarang :