Antara aktiviti disediakan untuk kanak-kanak pada pelancaran Kiddo Food Bank Parlimen Puchong di Tabika Kas Permata Court Puchong Utama Court 2 pada 8 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ibu bapa bersyukur anak dapat bantuan susu, vitamin selama setahun

SUBANG JAYA, 8 OKT: Penerima sumbangan susu tepung dan pelbagai jenis vitamin selama setahun bagi tumbesaran kanak-kanak bersyukur apabila anaknya terpilih menyertai Kiddo Food Bank Parlimen Puchong.

Siti Aisyah Hussin, 30, berkata sebelum ini anaknya yang berusia enam tahun terpaksa berkongsi susu dengan adiknya dan berharap Muhammad Amar Afwan Ahmad akan menbesar dengan sihat.

Siti Aisyah Hussin

“Sebelum ini biasalah dia akan berkongsi dengan adikya jika minum susu, jadi mungkin ada yang tidak cukup, jadi dengan bekalan setiap bulan ini kita dapat fokus pada dia.

“Saya harap selepas setahun ada perkembangan positif terhadap tumbesaran anak saya supaya dia boleh membesar sihat dan cergas seperti kanak-kanak lain selepas menerima zat makanan yang cukup,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin melancarkan program itu yang menyasar 100 kanak-kanak malnutrisi (kurang zat) sekitar parlimen tersebut bagi menerima bekalan susu tepung dan pelbagai vitamin selama setahun.

Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin meninjau reruai Kiddo Food Bank Parlimen Puchong di Tabika Kas Permata Court Puchong Utama Court 2 pada 8 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kiddo Food Bank menumpukan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mengalami masalah bantut, kurang berat badan dan susut.

Seorang lagi penerima, Mohd Nor Fizan Abd Samad, 43, berkata program itu memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai bahaya kekurangan zat kepada kanak-kanak.

Mohd Nor Fizan Abd Samad

“Bagus program seperti ini. Ibu bapa akan lebih peka dengan tumbesaran kanak-kanak. Saya selama ini tidak tahu pun mengenai pentingnya perkara ini dan hari ini kita sudah dapat pendedahan.

“Dengan tiga pek setiap bulan, ia sangat membantu perbelanjaan kami untuk pembelian susu seterusnya memastikan anak mendapat zat makanan secukupnya. Saya akan ikut saranan yang diberikan dalam program ini supaya anak membesar sihat,” kata bapa kepada Muhammad Izamil Afwan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :