Orang ramai membeli barang keperluan di program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Pangsapuri Putra, Jalan Putra Prima pada 22 Oktober 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah negeri, lebih 2,000 isi rumah Pangsapuri Putra terima manfaat

SEPANG, 22 OKT: Lebih 2,000 isi rumah di Pangsapuri Putra, Jalan Putra Prima di sini mendapat manfaat menerusi program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil hari ini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Putra Mohd Ismail Jamal berkata pihaknya bekerjasama dengan ahli majlis bagi mendapatkan slot penganjuran jualan murah negeri di kawasan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Putra Mohd Ismail Jamal. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Kami bekerjasama rapat dengan Ahli Majlis, apabila ada kekosongan slot mereka maklumkan dan kita setuju untuk adakan pada hari minggu supaya lebih ramai dapat peluang beli barang keperluan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, juruteknik Ibnu Aqil Mohd Suhaimi, 32, berkata beliau yang pertama kali berkunjung ke program itu teruja kerana dapat membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

“Sudah tentu saya gembira boleh jimat sekurang-kurangnya RM30 dengan membeli di sini. Saya harap ada berita baik dalam belanjawan Selangor nanti supaya program ini dapat diteruskan,” katanya.

Ibnu Aqil Mohd Suhaimi. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Suri rumah Noraini Mohd Said, 39, berkata beliau mengambil inisiatif untuk datang awal kerana sebelum ini pernah terlepas peluang membeli disebabkan barang sudah habis.

“Memang murah dan barangan berkualiti di sini, semua orang tidak mahu lepas peluang. Jadi siapa cepat dia dapat,” katanya.

JER yang dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ia menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Noraini Mohd Said. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh pada Julai lalu, bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh seluruh Selangor.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :