Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maxis, dan Apple mengadakan program KPS Celik Futuristik melibatkan pelajar dari SMK Kajang Utama di UKM pada 8 Disember 2022. Foto ihsan UKM
AGENSISELANGOR

KPS anjur program promosi STEM, tarik minat 20,000 pelajar B40

SHAH ALAM, 17 OKT: Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad melalui Inisiatif KPS Celik berjaya menarik minat 20,000 pelajar sekolah menengah sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan untuk menyertai Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bagi menyokong dasar kerajaan Malaysia yang menyasarkan nisbah 60:40 sains kepada pelajar seni, Inisiatif KPS Celik telah diperkenalkan pada Julai 2023.

Pengarah Perhubungan Pelabur, Kelestarian dan Komunikasi KPS Berhad Zul Mawardi berkata Inisiatif KPS Celik adalah program pembinaan kemahiran dan keupayaan komuniti, bertujuan untuk mendidik pelajar B40 menengah rendah, khususnya di penempatan FELDA, mengenai cara mengaplikasikan kaedah STEM dalam kehidupan seharian mereka dan menerusi pelajaran.

“Kami memilih 1,000 pelajar dari 20 sekolah untuk menyertai program ini secara langsung dan 20,000 lagi pelajar secara tidak langsung dengan mewujudkan aktiviti kurikulum yang menyeronokkan dan menarik melalui bengkel bersemuka interaktif dan aplikasi melalui aktiviti amali (hands-on),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zul berkata objektif utama inisiatif itu adalah untuk mempromosikan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah B40 melalui bengkel sekolah dan kuiz merangsang intelek.

Sebagai program pembelajaran berasaskan projek, pelajar diberi masa enam minggu untuk membangunkan projek inovasi berasaskan STEM dengan pelajar akan memfokuskan kepada mana-mana daripada lima Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) yang merangkumi kesihatan dan kesejahteraan yang baik, pendidikan berkualiti, kebersihan dan sanitasi air, tenaga berpatutan dan bersih, serta tindakan iklim.

Beliau juga berkata projek pelajar akan dipamerkan dan dipertandingkan dalam karnival STEM peringkat sekolah di 20 sekolah ini, mewujudkan satu lagi kesedaran limpahan STEM dalam kalangan pelajar lain.

“Projek yang dipamerkan semasa karnival STEM dinilai oleh panel hakim profesional,” tambahnya.

Semasa pertandingan peringkat akhir pada 26 September lepas di Plaza Perangsang di sini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan projek bertajuk ‘UCIN’s Maths’ telah dinobatkan sebagai johan KPS Celik Initiative 2023.

-BERNAMA


Pengarang :