Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada bukti kaitkan aktiviti antropogenik, hujan lebat punca tragedi Batang Kali

SHAH ALAM, 17 OKT: Tiada bukti kukuh mengaitkan aktiviti antropogenik (aktiviti manusia sehingga menyebabkan kemusnahan) sebagai punca tragedi tanah runtuh di Batang Kali tahun lalu.

Sebaliknya, timbalan perdana menteri berkata hujan selama lima hari merupakan pencetus utama kejadian yang mengorbankan 31 nyawa itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan hujan lebat berpanjangan itu menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan tertimbus dengan sisa runtuhan tanah.

“Secara ringkasnya, hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan merupakan faktor pencetus utama akibat daripada kombinasi jumlah hujan major (Major Rainfall Kumulatif) bagi tempoh lima hari.

“Selain itu, berlaku juga hujan Anteseden (Anteseden Rainfall) kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm Batang Kali 16 Disember 2022. Foto BERNAMA

Zahid menambah laporan siasatan oleh Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) dianggotai Jabatan Kerja Raya (JKR) serta beberapa agensi teknikal selain badan-badan professional yang dilantik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu laporan penuh boleh dibaca mulai 10 pagi esok di laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika tinjauan tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar

Pada 5 Oktober lalu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk nyahrahsia laporan penuh insiden tanah runtuh Batang Kali hasil keputusan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari laporan oleh Kementerian Kerja Raya itu telah diserah kepada Kerajaan Negeri selepas ia dibentangkan di Kabinet pada September lalu.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :