EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berucap ketika Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelaburan tenaga boleh diperbaharui langkah berani capai sifar karbon

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui membuktikan langkah berani Kerajaan Negeri bagi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

EXCO Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Jamaliah Jamaluddin berkata usaha itu juga selaras menjadikan Selangor sebagai peneraju dalam sektor peralihan tenaga.

“Mencapai masa depan sifar karbon bukan sekadar aspirasi, sebaliknya ia suatu kemestian. Sebab itu Selangor mengambil langkah berani mengurangkan pelepasan karbon dan memelihara persekitaran.

“Kita melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan mampan dan infrastruktur hijau kerana kita mahu mengimbangi penghasilan gas rumah hijau dari atmosfera,” katanya.

Beliau berucap pada sesi kemuncak pelabur AI, karbon sifar dan bioteknologi sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin melawat ke reruai selepas menghadiri Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jamaliah turut memberi contoh dua alumni Program Pemecut Selangor (SAP) iaitu Entomal dan FatHopes Energy yang mewujudkan model perniagaan sifar karbon sebagai menyokong usaha negeri ke arah itu.

Beliau memaklumkan Entomal menumpukan rawatan sisa bio mampan menggunakan ‘Black Soldier Fly’, manakala FatHopes memfokuskan penyelesaian mampan bagi pengeluaran biobahan api melalui pemprosesan lemak, minyak dan gris.

“Inisiatif ini menekankan potensi inovatif dalam syarikat pemula kendalian Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec). Ia menyumbang secara signifikan terhadap amalan mampan dan mesra alam.

“Projek terbabit juga menunjukkan bahawa untuk mencapai sifar karbon di Malaysia memerlukan gabungan teknologi inovatif dan reka bentuk yang mampan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara lain memberi fokus untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengesanan pelepasan gas rumah hijau menggunakan mekanisme pelaporan karbon akan dilaksana bagi membolehkan perancangan karbon.

 


Pengarang :