Tangkap layar temu bual Ketua Divisyen Ekonomi dan Kewangan MBI Zannifa Azura Ahmad pada program bertajuk SABDA: Hab Logistik dan Pertanian Pintar Selangor yang disiarkan di Astro Awani pada 4 Oktober 2023.
AGENDANASIONAL

Pembangunan Sabak Bernam dilaksana secara tersusun, rancak ekonomi penduduk setempat

SHAH ALAM, 4 OKT: Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang terkandung dalam  Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bertujuan meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Ketua Divisyen Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Zannifa Azura Ahmad berkata kawasan Sabak Bernam mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi menarik tetapi pembangunannya tidak teratur dan lambat.

Berikutan itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri menerusi MBI merangka garis panduan lengkap untuk membangunkan kawasan Sabak Bernam secara tersusun.

“Apabila Kerajaan Negeri memberi mandat, MBI pergi ke kawasan dan meneliti aktiviti ekonomi setempat. Kita dapati banyak yang boleh ditambah baik dan berpotensi untuk diketengahkan.

“SABDA antara tiga koridor ekonomi dikenal pasti di bawah RS-1. Menerusi SABDA, ia dapat tingkatkan aktiviti ekonomi berasaskan agropertanian, menggalakkan keusahawanan serta inovasi dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara SABDA: Hab Logistik dan Pertanian Pintar Selangor di Astro Awani malam ini.

Tangkap layar temu bual Ketua Divisyen Ekonomi dan Kewangan MBI Zannifa Azura Ahmad pada program bertajuk SABDA: Hab Logistik dan Pertanian Pintar Selangor yang disiarkan di Astro Awani pada 4 Oktober 2023.

 

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata enam projek bawah SABDA yang dijangka beroperasi mulai 2025 bakal menarik pelaburan sehingga RM1.9 bilion serta mencipta 3,600 peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pembangunan tanah seluas 1,317 hektar merangkumi pembinaan Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan dan Pusat Perniagaan Air Manis.

Turut tersenarai adalah projek Pusat Rehat dan Rawat Sabak Bernam, agropelancongan di Sekinchan dan pusat setempat pembinaan serta penyelenggaraan bot atau kapal nelayan di Sungai Lang.


Pengarang :