Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SABDA jadi ‘magnet’ tarik pelaburan RM1.9 bilion, cipta 3,600 peluang kerja

SABAK BERNAM, 9 JUN: Enam projek bawah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang dijangka beroperasi mulai 2025 bakal menarik pelaburan sehingga RM1.9 bilion sekali gus mencipta 3,600 peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata projek berkenaan termasuklah Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan dan Pusat Perniagaan Air Manis.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain itu turut tersenarai adalah projek Pusat Rehat dan Rawat Sabak Bernam, agropelancongan di Sekinchan dan pusat setempat pembinaan serta penyelenggaraan bot atau kapal nelayan di Sungai Lang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plat perasmian Nazbell Cottage & Garden ketika majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

“Dengan usaha ini, Kerajaan Negeri yakin bahawa pembangunan SABDA seluas 1,317 hektar membawa nilai pelaburan RM1.9 bilion, iaitu kira-kira RM248 juta setahun dan dapat mencipta 3,600 peluang pekerjaan bergaji tinggi.

“Kira-kira dua bulan lalu, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri meluluskan projek seperti di Sekinchan dan urusan tanah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau (MBI) yang akan mengenalpasti rakan kongsi di lokasi tersebut.

“Kelulusan Kerajaan Negeri sudah dibuat dan rakan-rakan kongsi mula dikenalpasti. Kita berharap dengan enam projek ini bantu urusan ekonomi seterusnya SABDA menjadi ‘magnet’ menarik pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan SABDA di Nazbell Cottage & Garden Kampung Parit Sepuloh di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran ketika majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Dalam perkembangan sama, Amirudin mengajak industri swasta dalam teknologi digital dan komunikasi untuk turut bersama supaya keperluan pendigitalan daripada aspek pertanian pintar dapat dibangunkan.

“Ini adalah peluang emas bagi institut penyelidikan untuk bekerja dengan industri teknologi untuk meningkatkan inovasi dan bantu mencipta peluang pekerjaan bergaji tinggi bagi anak-anak Selangor.

“SABDA boleh menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri makanan mampan serta sebagai ‘showcase’ kepada rantau Asia Tenggara.

“Jika semua ini direalisasikan, kita berpeluang membina rangkaian dengan syarikat antarabangsa dalam bidang pemakanan serta industri pemprosesan dan logistik. Saya mengesyorkan bahawa ‘Selangor is ready for business’,” katanya.

SABDA yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi atas kawasan berkeluasan 1,317 hektar.


Pengarang :