EXCO Kemajuan Desa dan Luar Bandar Datuk Rizam Ismail ketika wawancara bersama Media Selangor di Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam pada 3 Okt. 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pembangunan Sabak Bernam lonjak ekonomi setempat, peluang kerja bergaji tinggi

SUBANG JAYA, 3 OKT: Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan melonjak ekonomi penduduk setempat.

EXCO kemajuan desa dan luar bandar berkata pembangunan merangkumi enam projek mega yang dijangka beroperasi mulai 2025 turut membuka banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi.

“Projek mega ini menarik pelaburan sebanyak RM1.9 bilion dan dijangka menawarkan hampir 3,600 kerjaya bergaji tinggi. Ini menjadi pemangkin kepada pendapatan penduduk terutama sekitar Sabak Bernam.

“Dalam masa sama, kita dapat mengurangkan penghijrahan terutama golongan muda ke bandar,” kata Datuk Rizam Ismail ketika sesi wawancara bersama Media Selangor hari ini.

EXCO Kemajuan Desa dan Luar Bandar Datuk Rizam Ismail ketika wawancara bersama Media Selangor di Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam pada 3 Okt. 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar itu turut memberi jaminan keaslian persekitaran terutama di sekitar kampung tradisi kekal meskipun pembangunan berlaku.

“Pembangunan SABDA akan dilaksana tetapi kita tidak akan usik kawasan desa. Kita mahu pelihara kawasan berkenaan sebagai tarikan untuk pelancongan,” katanya.

Melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar, SABDA merangkumi enam projek utama antaranya Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan dan Pusat Perniagaan Air Manis.

 


Pengarang :