Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek berucap sempena Majlis Pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembangunan Sabak Bernam, dua projek perikanan skala besar dijangka siap 2027

SABAK BERNAM, 9 JUN: Dua projek perikanan berskala besar yang dibangunkan di bawah projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dijangka siap pada 2027.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata projek itu meliputi pelabuhan perikanan dan kilang pemprosesan, pembungkusan tuna serta ikan laut dalam pertama negara.

Jelas Norita Mohd Sidek, pelaksanaan projek tersebut antara langkah memastikan jaminan keselamatan makanan bagi tempoh jangka panjang untuk negeri dan negara.

“Projek industri perikanan Sungai Lang yang akan dibangunkan bersama MBI Selangor dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) dijangka dapat mencipta antara 2,500 hingga 5,000 peluang pekerjaan.

“AORB akan melabur sebanyak RM100 hingga 150 juta untuk fasa pertama pembangunan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan SABDA di Nazbell Cottage & Garden Kampung Parit Sepuloh di sini hari ini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek menukar dokumen dengan wakil Alpha Ocean Resources
Berhad (AORB) selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan disaksikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Majlis Pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Tambah Norita, satu lagi projek berimpak tinggi yang sedang dirancang adalah pembinaan pelabuhan pendaratan ikan bersepadu pertama di Malaysia yang terletak di Sekinchan.

Katanya, projek itu bakal dilengkapi dengan kompleks pemprosesan dan penjualan ikan yang akan dilaksanakan bersama Persatuan Kebajikan Nelayan dan peniaga di Sekinchan.

“Projek Pendaratan Ikan Sekinchan akan membuka lebih banyak  peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM484.1 juta.

“Selain dua projek utama ini, SABDA juga akan melaksanakan projek agropelancongan seperti pembangunan semula Hay Resort dan pembangunan eko-pelancongan sungai air tawar dan ban canal,” katanya.

SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.

Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek bergambar bersama penerima sijil pengusaha benih kelapa Matag sempena Majlis Pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Pengarang :