Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peserta teruja dalami ilmu, talaqqi kitab ilmuwan tersohor

SHAH ALAM, 11 OKT: Tidak berkesempatan hadir sebelum ini mendorong kakitangan kerajaan mengambil cuti bagi menghadiri Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Ahmad Salihin Sulaiman, 29, berkata beliau enggan melepaskan peluang bertemu ilmuwan tersohor, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni selepas tidak berkesempatan berbuat demikian Mei lalu.


Ahmad Salihin Sulaiman, 29, ditemui pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya tidak sempat hadir majlis talaqqi Baba Ismail sebelum ini. Jadi apabila tahu beliau datang ke Selangor sekali lagi, saya ambil cuti dua hari.

“Syukur kerana berkesempatan hadir. Peluang untuk mendengar kuliahnya merupakan peluang keemasan kerana beliau tokoh yang sangat disegani,” katanya.

Sementara itu, juruterapi, Muhammad Amir Akram Mohd Radzi, 29, berkata beliau mengagumi keperibadian Baba Ismail yang mahir dalam hampir semua topik keagamaan.

Menurutnya gaya penyampaian tokoh Islam dari Pattani, Thailand itu bersifat santai dan ilmu yang disampaikan juga mudah difahami.


Muhammad Amir Akram Mohd Radzi, 29, ditemui pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya merupakan bekas pelajar sekolah pondok. Jadi apabila dengar Baba Ismail mengajar, teringat balik kenangan di sekolah kerana cara ajarannya lebih kurang sama.

“Baba Ismail sering menekankan kepentingan Islam, Imam dan Ihsan. Beliau juga sangat mahir dalam bidang tauhid, fiqah dan tasawuf,” katanya.

Pesara, Ruzana Bakri, 57, berkata beliau teruja apabila julung kali berkesempatan menghadiri kuliah Dhuha yang disampaikan Baba Ismail bersama hampir 100 jemaah lain.

Menurutnya penerangan yang disampaikan Baba Ismail jelas, selain meliputi pelbagai aspek keagamaan serta kerohanian yang bermanfaat.


Ruzana Bakri, 57, ditemui pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya terharu kerana beliau sanggup datang dari jauh untuk beri kita ilmu. Jika ada peluang untuk sertai lagi, insyaallah saya cuba hadir,” katanya.

Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami yang berlangsung dua hari bermula semalam dianjur bagi mengupas kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.

Program keagamaan itu merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor pada 20 Mei lalu, yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Peserta mendengar kuliah tokoh ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni ketika talaqqi kitab Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :