PENDAPATRENCANA

Peristiwa mulia awal Islam, zaman Nabi dan sahabat

Kerajaan Negeri membiayai projek terjemahan karya penting dunia sejak 2016. Dijayakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), setakat ini lebih 70 judul berjaya diterbitkan meliputi bidang agama, politik, budaya, biografi, sejarah dan sastera.

Selain kitab-kitab utama Imam al-Ghazali, projek terjemahan ini menghasilkan karya tokoh terpenting umat Islam termasuklah sirah.

Mulai 2021, IBDE menerbitkan Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal.

Ia diterjemah daripada judul asal Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources karya ulama sufi Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin.

Buku itu mendapat sambutan meluas dan bakal dicetak kali keenam.

Tahun berikutnya, buku Abu Bakr: Liku-Liku Hayat dan Pemerintahan Khalifah Pertama berada di pasaran. Karya asal berbahasa Arab, Hazrat Abu Bakr Siddiq, oleh penulis terkenal Mesir Muhammad Hussein Haikal.

Kira-kira dua bulan lalu, buku ‘Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang tulisan cendekiawan Mesir Abbas Mahmud al-Aqqad diterjemah, sekali gus meneruskan siri kisah zaman Nabi dan sahabat baginda.

Mempunyai pasukan berpengalaman dalam kerja penterjemahan sejak 20 tahun lalu, IBDE sedang meneliti kisah wanita-wanita di samping Rasulullah khususnya isteri baginda.

Buku Muhammad dan Abu Bakar diterbitkan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, sementara buku Umar dan sahabat seterusnya diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd.

Selain riwayat hidup Imam al-Ghazali, kitab-kitab utama ulama ini yang sudah diterjemahkan pasukan IBDE seperti berikut: Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik, Al-Mustasfa: Intipati Ilmu Usul Fiqh, Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad dan Penyelamat Daripada Kesesatan.

Biografi tokoh ini Imam al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung diterjemah daripada Muslim Intellectual: A Study of al-Ghazali karya profesor William Montgomery Watt. Teks terjemahan ini termasuk maklumat yang dikemaskini.

IBDE juga rancak menterjemah kitab agung Ihya Ulumuddin sejak awal tahun ini. Dijangka selesai dalam tiga hingga empat tahun, 20 jilid naskhah berbahasa Melayu itu diterjemah daripada 10 jilid teks Arab.

Usaha terjemahan Kitab al-Ilmi (bab pertama Ihya Ulumuddin) dilakukan dengan teliti pada setiap perbahasan al-Ghazali dalam karya itu. Jilid pertama dijangka terbit tidak lama lagi.

Bagi menjulang karya hebat ini, Kerajaan Negeri menganjurkan Festival Turath Islami Selangor antara 20 hingga 25 Mei dengan menampilkan beberapa ulama dari luar negara, termasuk bekas mufti besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Penterjemahan Ihya Ulumuddin diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 28 Mei sebagai sebahagian projek baharu Siri Warisan Islami.

Buku-buku sebelum ini diterbitkan bawah Siri Pencerahan Selangor.

Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com


Pengarang :