Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas berucap pada majlis Jalinan Kerjasama Strategik antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS sasar pendapatan tahunan meningkat kepada RM8 bilion menjelang 2030

SHAH ALAM, 6 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan jumlah pendapatan tahunan meningkat kepada RM8 bilion menjelang 2030 melalui pelaburan dan pembangunan dalam bidang hartanah serta stesen janakuasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata aset dimiliki PKNS seperti kompleks perniagaan, pusat konvensyen, hotel dan pusat kesihatan termasuk hospital akan menyumbang jumlah berkenaan.

“Pendapatan PKNS setiap tahun sekitar RM2 bilion dan kita mempunyai satu visi di mana menjelang 2030 kita jangka pendapatan meningkat kepada RM8 bilion.

“Jumlah ini datang dari pelaburan projek stesen janakuasa yang akan bermula pertengahan 2024 di Pulau Indah, bangunan, sewa bangunan, jualan rumah mampu milik dan pelbagai perniagaan yang akan kami ceburi,” katanya.

Beliau ditemui dalam program Konferensi Integriti PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam.

Mengulas lanjut Mahmud berkata visi itu akan menjadikan PKNS sebuah organisasi gergasi korporat yang akan membantu Kerajaan Negeri memperkasa rakyat melalui rangkaian program.

“Pendapatan PKNS melalui pembangunan dan pelaburan pelbagai bidang digunakan membantu Kerajaan Negeri melalui program seperti sukan tajaan PKNS seperti Kejohanan Piala Sultan Selangor dan Golf Selangor Masters.

“Selain itu dalam sektor keusahawanan kita anjurkan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) untuk membantu usahawan yang ingin memulakan perniagaan,” katanya.


Pengarang :