Suasana pada Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekspo taman industri tarikan sidang niaga antarabangsa 19 Oktober

SHAH ALAM, 6 OKT: Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) antara tarikan dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang berlangsung mulai 19 Oktober.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata acara utama rantau bagi pemain industri menerima penyertaan paling awal kali ini termasuk pempamer dari Asia Tenggara.

“Spark diperkenalkan pada 2021 dan hanya melibatkan peserta dalam negeri, namun disebabkan ramai berminat, kita tawar secara terbuka termasuk negara luar.

“Kali ini semua negeri akan sertai selain empat negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia. Dua dewan pameran digunakan untuk segmen ini sahaja,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris ketika dihubungi.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, beliau berkata persiapan program lancar dan yakin mampu mencapai sasaran kehadiran 50,000 pengunjung selama empat hari hingga 22 Oktober.

“Invest Selangor yakin edisi kali ini mampu mencapai potensi jualan sehingga RM1.5 bilion. Selain Spark, sektor makanan dan minuman (Ekspo Antarabangsa Selangor) juga tarikan utama,” katanya.

Selangor memperkenalkan SIBS pada 2016 dan sidang niaga tersebut mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion dalam edisi tahun lalu.

Tahun lalu juga ekspo disertai 623 pempamer itu menerima 44,342 pelawat dengan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

 


Pengarang :